
Presidennya, Mazlan Aliman berkata, langkah itu membolehkan Ahli Parlimen berbahas agar menghasilkan natijah berkesan untuk tempoh 20 ke 30 tahun akan datang.
Dalam kenyataan, selain itu, semakan semula Kertas Putih Felda perlu dilaksanakan selepas dibentang pada 2019.
“Kita pun tiada maklumat perkembangannya,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini 30% daripada 112,635 peneroka melibatkan 317 tanah rancangan masih hidup.
“Sejauh mana agenda reform Felda? Apa dia hala tuju Felda? Seharusnya dasar baharu telah dirangka melalui peranan menyeluruh generasi baharu Felda,” katanya sambil menegaskan kepentingan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) dipinda.
Mazlan berkata, sebahagian akta tersebut dianggap sudah tidak relevan khususnya status faraid/waris yang menjadi pertikaian dalam kalangan adik beradik.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang meletakkan Felda di bawah kuasa Jabatan Perdana Menteri sehingga semua masalah pokok berkaitan agensi itu dan peneroka selesai.
Anwar berkata, Felda mempunyai banyak masalah dan tidak mahu diselesaikan secara “sikit-sikit”.
Dalam menyambut baik keputusan perdana menteri itu, Mazlan berkata Felda sedang berada dalam keadaan menyedihkan susulan “simpanan berbilion ringgit lebur”, selain terpaksa berdepan hutang yang bertimbun.
Katanya, antara isu lain dibangkitkan adalah pengurusan kebun kurang efisien, selain pendapatan tidak meningkat.