Takda apa nak dijelaskan, PAS beritahu Gerakan berhubung insiden ‘dihalau’

Takda apa nak dijelaskan, PAS beritahu Gerakan berhubung insiden ‘dihalau’

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Oh Tong Keong perlu mendapatkan butiran mengenai apa yang berlaku daripada presiden parti Dominic Lau.

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Presiden Gerakan Dominic Lau sendiri menafikan ‘dihalau’ daripada ceramah PN. (Gambar Bernama)
KEPALA BATAS:
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menolak gesaan Gerakan agar parti itu memberikan penjelasan atas tindakan seorang pemimpin tempatannya menghalang Dominic Lau daripada menghadiri ceramah Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini.

Tuan Ibrahim berkata, tiada apa yang perlu dijelaskan oleh PAS kerana Lau telah menafikan dihalau daripada majlis itu selepas hadir tanpa diundang.

Beliau juga berkata, Lau sendiri mengaku berada di sana untuk bertemu Presiden PAS Hadi Awang.

Tuan Ibrahim berkata, Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong perlu mendapatkan butiran mengenai apa yang telah berlaku secara langsung daripada Lau.

“Beliau (Lau) telah mengeluarkan kenyataan. Oleh itu, kita tidak perlu beri penjelasan.

“Dan dia (Oh) harus mendengar (cakap) presidennya,” kata Tuan Ibrahim kepada FMT selepas ceramah di sini malam tadi.

Semalam, apabila menuntut penjelasan PAS, Oh menuduh parti itu tidak menghormati Lau yang juga timbalan pengerusi Perikatan Nasional dan ketua PN Pulau Pinang.

Katanya, Lau sepatutnya dilayan sebagai tetamu oleh PAS.

Komen Oh dibuat susulan video oleh Malaysiakini yang menunjukkan Lau dihalang oleh pemimpin PAS Pulau Pinang daripada mengikuti naib presiden parti itu, Idris Ahmad, naik ke pentas pada ceramah itu.

Apabila ada yang memprotes, kedengaran pemimpin PAS berkata kepada Lau: “Tak boleh (ikut). Pergi dari sini.”

Pada Rabu, Lau menafikan beliau diminta meninggalkan ceramah di Sungai Dua itu.

Katanya, beliau pergi ke sana untuk berjumpa dengan Hadi memandangkan presiden PAS itu meminta bertemu pada 9 malam. Bagaimanapun, Hadi hanya tiba pada 10.30 malam dan Lau terpaksa bertolak ke mesyuarat lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.