
Sepanjang tahun lepas, masalah dihadapi Umno mendapat perhatian umum, dengan Zahid bergelut untuk mengekalkan pengaruhnya dalam parti berikutan banyak pemecatan dan penggantungan berprofil tinggi.
Seorang pemimpin Umno Selangor, yang enggan dinamakan, mendakwa ahli mungkin tidak mengundi parti kali ini, atas tiga sebab.
“Wujud rasa tidak senang dengan kepimpinan Umno dan rasa tidak puas hati mengenai calon, manakala segelintir ahli tidak minat bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Oleh itu, Perikatan Nasional (PN) pasti akan dapat undi,” katanya sambil menambah, memboikot undi akan menjadi cara utama ahli menunjukkan bantahan.
“(Ahli) rasa tak senang, tetapi mereka tak mahu undi parti lain, jadi mereka tak keluar mengundi.”
Tambahnya, sebelum ini, perbalahan berlaku secara dalaman, tetapi kini berlaku juga perbalahan dengan rakan Barisan Nasional (BN) dan PH.
Sementara itu, seorang pemimpin Umno bahagian dari Selangor juga berkata, wujud banyak rasa tidak senang pada peringkat akar umbi.
“Anda mungkin lihat ahli berkempen untuk calon PH atau BN sekarang, tetapi pada hari pengundian, mereka akhirnya akan undi pembangkang atau langsung tak keluar mengundi.
“Mereka melakukannya (berkempen) kerana Zahid atau pemimpin bahagian yang menyokongnya akan ‘menyasarkan’ mereka jika tidak turun padang dan membantu,” katanya.
Tambahnya, ramai ahli yang tidak berpuas hati sayang pada parti tetapi bukan pada kepimpinan mahupun hala tuju parti.
“Macam lawak apabila presiden suruh sokong calon PH, terutamanya daripada DAP. Ramai pemimpin bahagian tidak peduli pun untuk suruh ahli sokong calon DAP, buang masa,” dakwanya.
Zahid sebelum ini mengingatkan ahli parti supaya tidak mensabotaj calon pada PRN.
Zahid berkata kepada ahli Umno di Lenggeng, Negeri Sembilan bahawa beliau dan ketua Umno negeri Jalaluddin Alias telah bekerja keras berunding dengan PH bagi mendapatkan kerusi Lenggeng.
Beliau berkata, ahli Umno mesti memberi fokus dalam memastikan sokongan daripada akar umbi BN dan PH, selain pengundi yang belum membuat keputusan.
Sementara itu, Pengerusi PN Selangor Azmin Ali mendakwa, lebih 30 ketua Umno cawangan telah berjumpa dengannya di Gombak pada 1 Ogos untuk membincangkan memberi sokongan penuh kepada PN namun kekal dalam Umno.
Beliau berkata, keputusan mereka bukan dibuat disebabkan tekanan, tetapi lebih kepada “keinginan menyelamatkan negeri dan negara”.
Rakyat di Selangor, Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Kelantan dan Negeri Sembilan akan mengundi pada 12 Ogos.