Pertimbang semula levi terhadap perusahaan ambil pekerja asing, kerajaan diberitahu

Pertimbang semula levi terhadap perusahaan ambil pekerja asing, kerajaan diberitahu

Kumpulan perniagaan menggesa kerajaan mempertimbangkan geran, kemudahan pinjaman kos rendah untuk membantu perniagaan melaksanakan automasi.

Levi pelbagai peringkat akan membebankan syarikat yang bergantung kepada pekerja asing, kata Presiden Persatuan PKS Malaysia Ding Hong Sing. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan mewakili perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menggesa kerajaan mempertimbangkan semula rancangan mengenakan levi pelbagai peringkat ke atas perusahaan yang mengambil pekerja asing.

Presiden Persatuan PKS Malaysia Ding Hong Sing berkata, levi pelbagai peringkat itu akan membebankan syarikat yang bergantung kepada pekerja asing.

Beliau mengulas cadangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan levi pekerja asing pelbagai peringkat ke atas perusahaan, dengan sebahagiannya bagi program automasi dan latihan untuk pekerja tempatan.

“Memang benar kerajaan perlu memulakan automasi dan pendigitalan kerana jika ketinggalan dalam dua aspek ini, maka sukar untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Tetapi levi juga bermakna perusahaan akan menanggung peningkatan kos pada masa ekonomi dan mata wang kita lemah,” kata Ding kepada FMT.

Ding berkata, adalah lebih baik kerajaan mempertimbang untuk menyediakan geran atau kemudahan pinjaman kos rendah agar perusahaan dapat melaksanakan pendigitalan dan automasi dengan cara yang mampan dari segi kewangan.

“Sebagai contoh, sehingga 2021, terdapat 1,226,494 PKS mikro berdaftar. Kerajaan boleh memperkenalkan geran sehingga RM15,000 untuk membantu kira-kira 30,000 syarikat melaksanakan pendigitalan setiap tahun.”

Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman berkata, pihaknya menyokong cadangan perdana menteri namun berpendapat dasar sedemikian perlu dilaksanakan secara berperingkat agar operasi perniagaan tidak terjejas.

“Pengurangan kebergantungan kepada pekerja asing harus dilaksanakan secara berperingkat untuk membolehkan perusahaan menyesuaikan diri,” katanya kepada FMT.

Syed Hussain menolak cadangan bahawa majikan lebih suka mengambil pekerja asing kerana lebih murah.

“Mengambil pekerja asing datang bersama kewajipan lain bawah dasar pengambilan kos sifar, seperti pembayaran fi negara sumber, tambang penerbangan, pemeriksaan perubatan, levi, penginapan dan kos pengangkutan.

“Selain itu, pelaksanaan gaji minimum RM1,500 telah meningkatkan kos menjalankan perniagaan sehingga 36% pada masa ramai masih cuba membangunkan semula perniagaan mereka selepas wabak Covid-19.”

Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (Micci) Christina Tee juga menyokong langkah kerajaan itu tetapi katanya, ia bukan penyelesaian “pukul rata” bagi gaji rendah, kebergantungan kepada pekerja asing dan automasi.

Katanya, walaupun dengan automasi, negara tidak dapat menyingkirkan penggunaan pekerja asing sepenuhnya kerana banyak pekerjaan tidak digemari rakyat tempatan.

“Sehingga wujudnya robot yang boleh melakukan kerja paip, pertukangan, membuat katil hotel atau menuai buah kelapa sawit, kita masih memerlukan pekerja asing,” katanya sambil menambah, kadar penggunaan automasi juga bergantung kepada kosnya kepada perusahaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.