‘Kita hormat keputusan lama’, kata Anwar berkait kerusi Pulai, Simpang Jeram

‘Kita hormat keputusan lama’, kata Anwar berkait kerusi Pulai, Simpang Jeram

Anwar Ibrahim berkata keputusan akhir akan diputuskan Majlis Presiden PH dalam masa terdekat.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kematian Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim berkata, kerusi tradisi Amanah di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kemungkinan besar kekal milik parti itu.

Katanya, bagaimanapun keputusan akhir akan diputuskan Majlis Presiden PH dalam masa terdekat.

“Selalunya kita hormat keputusan lama itu kerusi Amanah tapi akan diputuskan Majlis Presiden PH dan akan diangkat ke mesyuarat majlis perundingan kerajaan perpaduan,” katanya selepas merasmikan sidang kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia.

Pilihan raya bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas kematian Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup pada 23 Julai lalu.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi berkata, gabungan itu akan memberi laluan kepada Amanah bertanding pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, pada 9 Sept ini.

Zahid yang juga presiden Umno berkata, keputusan itu dibuat atas semangat perkongsian politik dalam kerajaan perpaduan.

Terdahulu, Amanah Johor berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas sebelum 10 Ogos untuk menamakan calon bagi kerusi itu.

Timbalan Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan berkata, beliau yakin kedua-dua kerusi tersebut kekal milik parti itu berdasarkan prestasi baik Salahuddin sebagai wakil rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal 5 Sept dan hari pengundian 9 Sept ini.

Sementara itu, Anwar yang juga menteri kewangan berkata, cadangan baharu berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura hanya akan diangkat kepada republik itu selepas ada keputusan awal di peringkat kerajaan.

Beliau berkata, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook akan mewakili Putrajaya untuk berunding dengan Singapura.

“(Perkembangan HSR) Itu belum…baru peringkat kita, sebaik ada keputusan awal barulah akan diangkat oleh menteri, Loke kepada perhatian Singapura,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.