
Pesuruhjayanya Fauzi Yusoff berkata mereka akur dengan arahan PAS pusat supaya tidak menimbulkan suasana tidak harmoni dalam Perikatan Nasional (PN).
“Kita akan berusaha murnikan keadaan (hubungan PAS dengan Lau), kita kena berjumpa dan usahakan dengan cara cermat,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Sebelum ini, tular video yang mendakwa Lau “dihalau” dan diminta meninggalkan ceramah mega ‘PN Best’ dianjurkan PAS di Sungai Dua, Selasa lalu.
Ceramah mega itu menampilkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang serta Ketua Bersatu Pulau Pinang yang juga calon PN DUN Penanti, Zulkifli Bakar.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memohon maaf kepada Lau dan menegaskan pucuk pimpinan tidak merestui perbuatan ahli parti itu.
Sebelum ini timbul tentangan daripada ahli PAS susulan pencalonan Lau di DUN Bayan Lepas pada PRN 12 Ogos ini kerana berpendapat kerusi majoriti Melayu itu sepatutnya ditandingi parti Islam itu.
Lau bagaimanapun menolak dakwaan akar umbi PAS tidak menyokongnya, sambil menyatakan ada pemimpin tempatan menyokongnya.
Timbalan pengerusi PN itu sebelum ini pernah menyatakan hasrat bertanding di kerusi di Seberang Perai, namun akhirnya memilih Bayan Lepas, terletak di pulau yang difahamkan kerusi selamat susulan kekuatan PAS disokong pengundi Melayu.