Adun Melayu ‘bisu’ isu libat komuniti, kata pemimpin PAS

Adun Melayu ‘bisu’ isu libat komuniti, kata pemimpin PAS

Ketua PAS Pulau Pinang Fauzi Yusoff berkata tidak cukup Adun Melayu setakat memberikan bantuan kepada pengundi.

Ketua PAS Pulau Pinang Fauzi Yusoff menyeru pengundi tidak memilih ‘jaguh kampung’ pada PRN.
KEPALA BATAS:
Adun Melayu di Pulau Pinang tidak bersuara mengenai isu berkaitan orang Melayu dan Islam, menurut Ketua PAS negeri Fauzi Yusoff.

Fauzi yang bertanding di kerusi Sungai Dua pada PRN menyeru pengundi Melayu di negeri itu memastikan suara mereka didengari dan tidak memilih “jaguh kampung”.

Katanya, tidak cukup Adun Melayu setakat memberikan bantuan kepada pengundi, mereka juga mesti memperjuangkan isu Melayu dan Islam.

“Pergi duduk dalam DUN bisu daripada mempertahankan hak orang Islam, daripada mempertahankan orang Melayu, membawa suara orang Melayu dalam DUN.

“Sebab itulah kita lihat jadi macam-macam ni. Takda halangan, sekatan kepada apa sahaja projek gila yang kerajaan negeri Pulau Pinang nak buat,” katanya pada ceramah di Kampung Lahar Tiang malam tadi.

Terdahulu, Fauzi bercakap mengenai Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) dan projek perumahan “mahal”, yang menurutnya tidak menguntungkan orang Melayu.

Pemimpin PAS itu berkempen untuk Bukhori Ghazali, calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pinang Tunggal, yang berdepan Zainudin Mohamed (PH).

Kerusi itu disandang Umno sehingga PH memenanginya pada PRU14 melalui Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (PKR), yang kemudian menjadi timbalan ketua menteri.

Pada PRN 12 Ogos, PN bertanding 40 kerusi di Pulau Pinang, dengan PAS bertanding 10 daripadanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.