
Rosiah Osman, 71, berkata sepanjang bertugas sebagai setiausaha eksekutif kepada Zahid dari 1994 hingga 2011, beliau membuat semua bayaran itu menggunakan cek Maybank peribadi Zahid.
Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam Ahmad Zaidi Zainal mewakili Zahid yang diperintah membela diri terhadap 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.
Menurut Rosiah, pembayaran bil kad kredit isteri Zahid, Hamidah Khamis juga menggunakan cek peribadi Zahid.
Saksi pembelaan ketujuh itu berkata cek Yayasan Akalbudi pula digunakan untuk aktiviti-aktiviti kebajikan antaranya memberi sumbangan kepada masjid.
Rosiah berkata beliau menguruskan cek Yayasan Akalbudi kerana yayasan itu tidak mempunyai kakitangan sokongan termasuk akauntan atau setiausaha.
Selain itu, Rosiah berkata Zahid mempunyai pegangan saham di empat syarikat iaitu Kretam Holding Berhad dan anak syarikatnya, Tekala Corporation Berhad, Ramatex Berhad dan Seng Hup Berhad.
“Datuk Seri (Zahid) masukkan hasil jualan saham syarikat Kretam Holding dan Tekala Corporation ke dalam akaun Yayasan Akalbudi, namun saya tidak pasti hasil jualan saham bagi dua lagi syarikat (Ramatex dan Seng Hup) ada masuk dalam akaun yayasan atau tidak,” kata saksi itu.
Pada Selasa lalu, Rosiah memberitahu mahkamah bahawa Zahid menggunakan kad kredit peribadinya untuk mendahulukan pembelian peralatan untuk disumbangkan kepada masjid bagi aktiviti kebajikan Yayasan Akalbudi dan yayasan itu membayar balik kad kredit bagi pembelian tersebut.
Sementara itu, semasa disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Rosiah berkata beliau tidak ingat berapa kali Zahid menggunakan kad kreditnya untuk membeli barang kelengkapan untuk disumbangkan kepada masjid.
Menurut Rosiah tidak semua pembelian barang sumbangan untuk aktiviti kebajikan yayasan itu menggunakan kad kredit milik Zahid.
Katanya kad kredit Zahid digunakan untuk pembelian antaranya permaidani, kipas dan penyaman udara yang disumbangkan kepada masjid.
Ditanya Dusuki, mengapa saksi itu tidak menggunakan cek Yayasan Akalbudi untuk membeli barangan keperluan masjid, Rosiah menjawab “Takkan nak beli guna cek, jadi guna kad kredit Datuk Seri (Zahid) dulu”.
Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Zahid, 70, didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang ke firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 7 Ogos ini.