SPRM mesti siasat Zahid berkait janji geran belia, kata C4

SPRM mesti siasat Zahid berkait janji geran belia, kata C4

Kumpulan anti-rasuah itu kecewa dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang tidak melihat apa-apa kesalahan dalam tindakan timbalannya.

Zahid Hamidi dalam program di Terengganu minggu lalu dilaporkan berkata geran bantuan kepada belia mungkin ditambah bergantung kepada keputusan pilihan raya 12 Ogos ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menyiasat Presiden Umno Zahid Hamidi berhubung janji pemberian geran terhadap pengundi di Terengganu dalam ucapannya di Dungun minggu lalu, kata Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

“SPRM perlu menjalankan siasatan terhadap pengumuman Zahid untuk memastikan sama ada satu kesalahan pilihan raya dilakukan.

“Jika tidak, SPRM mesti menjelaskan mengapa ia tidak berhasrat untuk menangani sesuatu yang berada bawah bidang kuasanya,” kata kumpulan anti-rasuah itu dalam kenyataan.

C4 turut menuntut pelaksanaan pembaharuan segera untuk menjamin kebebasan SPRM.

Ini termasuk segera menggantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, “yang berkhidmat ketika kredibiliti badan anti-rasuah itu dipertikai banyak pihak.”

C4 juga menyatakan kekecewaannya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang tidak melihat apa-apa kesalahan dalam tindakan timbalannya.

“Pernyataan secara terang-terangan beliau sebelum ini yang Jemaah Menteri memutuskan dana awam tidak akan digunakan untuk kempen pilihan raya tidak bermakna apabila seorang menteri dibenarkan melakukannya tanpa sebarang tindakan,” katanya.

Dalam program di Dungun minggu lalu, Zahid menggesa belia mengundi “gelombang merah dan biru” pada PRN, sambil menyatakan geran bantuan mungkin ditambah berdasarkan keputusan pilihan raya pada 12 Ogos ini.

Mengulas mengenai pengumuman Zahid itu, Azam berkata pemberian bantuan kepada belia bukan satu kesalahan.

“Pada hemat saya, tiada masalah berhubung isu pemberian geran ini kerana ia merupakan inisiatif kerajaan. Jadi kalau inisiatif peruntukan yang telah diluluskan kerajaan, ia tiada unsur rasuah,” katanya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.