Misbun maafkan Norza, kemelut tamat kontrak selesai

Misbun maafkan Norza, kemelut tamat kontrak selesai

Jurulatih berusia 63 tahun itu mengakui lega selepas mendengar permohonan maaf secara terbuka Norza Zakaria.

Dalam sidang media Isnin lalu, Misbun Sidek meluahkan rasa terkilan dengan tindakan Norza Zakaria yang didakwa seolah-olah lepas tangan berhubung isu yang timbul.
PETALING JAYA:
Kemelut antara Misbun Sidek dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selesai apabila beliau menerima permohonan maaf presiden badan induk itu, Norza Zakaria susulan penamatan kontraknya selaku pengarah kejurulatihan perseorangan remaja Akademi Badminton (ABM), minggu lalu.

Pengurus peribadi Misbun, Nor Kamal Ahmad, berkata jurulatih berusia 63 tahun itu mengakui lega selepas mendengar permohonan maaf secara terbuka dibuat Norza dalam sidang media semalam, sambil mengakui beliau sememangnya mempunyai hubungan istimewa dengan individu nombor satu BAM itu.

“Apabila Norza sendiri yang membuat permohonan maaf, Misbun mengakui beliau berasa lega. Misbun menerima permohonan maaf itu dan anggap perkara ini selesai, beliau tidak mahu memanjangkan isu ini lagi.

“Buat masa ini, Misbun belum bersedia bertemu pihak media dan beliau meminta saya membuat kenyataan kepada media berhubung perkara ini. Apa yang saya sampaikan, inilah diluahkan sendiri oleh Misbun,” katanya menurut Berita Harian.

Dalam sidang media Isnin lalu, Misbun meluahkan rasa terkilan dengan tindakan Norza yang didakwa seolah-olah lepas tangan berhubung isu yang timbul itu selepas jawatankuasa khas dipengerusikan Timbalan Presiden BAM, Subramaniam memutuskan menamatkan kontraknya lebih awal.

Bagaimanapun, Norza yang mengakui mempunyai hubungan istimewa dengan Misbun menerusi sidang media semalam, membuat permohonan maaf kepada legenda negara itu, sambil menjelaskan wujud masalah komunikasi antara kedua-dua pihak yang menjurus kepada kemelut melanda ketika ini.

Selain itu, Norza turut menawarkan Misbun kembali menggalas tanggungjawab selaku pengarah pembangunan remaja sehingga kontrak asalnya tamat hujung tahun ini dan jika beliau tidak berminat, pihaknya sedia bertemu dengan jurulatih berkenaan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda agar tiada pihak berasa teraniaya.

Mengulas mengenai tawaran dikemukakan BAM kepada Misbun, Kamal berkata jurulatih berkenaan mahu menunggu surat rasmi daripada badan induk itu terlebih dahulu sebelum memberi komen lanjut.

“Setakat ini, belum ada sebarang surat tawaran rasmi daripada BAM. Apabila sudah ada surat tawaran rasmi nanti, barulah Misbun akan mempertimbangkan dan buat keputusan.

“Beliau mahu lihat dulu apa isi kandungan dan perincian mengenai tawaran diberikan BAM itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.