
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, berkata semua sesi itu dipengerusikannya sendiri bersama semua pihak berkepentingan sejak Februari tahun ini dan akan diteruskan.
“Proses reformasi undang-undang mengambil masa tetapi proses tersebut telah pun bermula dan saya yakin bahawa syor-syor berhubung cadangan penambahbaikan kepada Akta Sosma 2012 akan diangkat untuk pertimbangan kerajaan dalam masa yang terdekat,” katanya kepada Bernama.
Antara lain Seksyen 4(1) akta berkenaan memperuntukkan bahawa penahanan terhadap seseorang individu yang dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan boleh dibuat tanpa waran, manakala Seksyen 4(5) menyatakan bahawa setiap penahanan di bawah akta itu boleh dibuat sehingga 28 hari bagi maksud penyiasatan.
Namun mengikut Seksyen 4(11), peruntukan bawah subseksyen 5 itu perlu disemak semula setiap lima tahun sama ada wujud keperluan penguatkuasaannya dilanjutkan.
Pada 27 Julai tahun lalu usul lanjutan semula subseksyen 5 diluluskan di Dewan Rakyat untuk terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai 2022, melalui undi belah bahagi yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju, 88 tidak bersetuju dan 21 tidak hadir.
Pada Februari lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan perpaduan tidak berhasrat memansuhkan akta berkenaan, namun akan melaksanakan penambahbaikan.
Ini menurut Saifuddin disebabkan polis masih memerlukan undang-undang berkenaan agar tindakan segera boleh diambil untuk mengelakkan sebarang kegentaran awam dan ancaman kepada kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Isnin lalu, media melaporkan kira-kira 100 ahli keluarga kepada 69 tahanan bawah akta berkenaan melancarkan mogok lapar di hadapan Penjara Sungai Buloh bagi menggesa kerajaan membebaskan semua tahanan dan memansuhkan undang-undang.
Bagaimanapun, semua mereka menamatkan protes itu semalam, selepas Ramkarpal mengadakan pertemuan dengan mereka di lokasi dan memberikan penjelasan selama hampir tiga jam setengah.
Ramkarpal mengakui setakat ini tiada perbincangan mengenai pemansuhan akta berkenaan dan semua ahli keluarga tahanan jelas mengenai keputusan kerajaan berkenaan.
Beliau berkata kerajaan kini giat meneliti penambahbaikan bagi memastikan ia sesuai dengan keadaan dan keperluan semasa.
Ini terutamanya, berhubung peruntukan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan selesai tidak dibenarkan di bawah akta tersebut, melainkan seseorang itu berumur di bawah 18 tahun atau seorang perempuan atau seorang yang sakit atau uzur.
“Perbincangan mengenai hala tuju dasar berhubung usaha ini sedang diadakan bersama Kementerian Dalam Negeri, polis dan Jabatan Peguam Negara,” katanya.