Tak pinggir orang bukan Melayu jika PAS menang, kata Hadi

Tak pinggir orang bukan Melayu jika PAS menang, kata Hadi

Presiden PAS itu menyalahkan ketegangan pilihan raya ke atas DAP dan Pakatan Harapan.

Abdul Hadi Awang meminta rakyat Pulau Pinang tidak takut kepada parti itu kerana orang Cina dan India hidup dengan gembira di kampung Melayu di Kelantan serta Terengganu.
PETALING JAYA:
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berjanji kepada orang bukan Melayu, khasnya di Pulau Pinang, parti Islam itu tidak akan meminggirkan mereka jika menang PRN 12 Ogos ini.

“Orang bukan Melayu jangan takut. Jangan risau, Islam menggalakkan keadilan dan kesaksamaan. Orang Melayu adalah orang yang hebat.

“Di Kelantan (dan) Terengganu, orang Cina dan India semuanya hidup dengan gembira di kampung Melayu,” katanya menurut China Press dalam ceramah Perikatan Nasional di Pulau Pinang malam tadi.

Beliau menyalahkan DAP dan Pakatan Harapan mewujudkan suasana tegang untuk pilihan raya, justeru pengundi perlu keluar mengundi bagi memulakan perubahan “besar”.

Katanya, mengundi adalah hak dan orang ramai digesa tidak berhenti mengundi “atau orang lain akan mengambil hak itu”.

Hadi berkata, beliau gembira melihat ramai anak muda membuat “perubahan” dan memilih untuk menyokong PAS serta PN.

PN bertanding di semua 40 kerusi DUN di Pulau Pinang, dengan 19 kerusi ditandingi Gerakan, Bersatu (11) dan PAS (10).

Sebelum DUN dibubarkan bulan lalu, DAP menguasai 19 kerusi, PKR (12) dan Amanah (2). Rakan kongsi PH dalam kerajaan perpaduan, Barisan Nasional mempunyai dua kerusi.

Bersatu mempunyai empat kerusi, tetapi Adun mereka hilang kelayakan kerana melanggar undang-undang anti-lompat negeri.

PAS menguasai baki kerusi itu, yang dimenanginya selepas pendedahan seorang calon PH muflis dan hilang kelayakan bertanding.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.