Polis kata tiada unsur kempen ucapan Fahmi di ruang solat

Polis kata tiada unsur kempen ucapan Fahmi di ruang solat

Polis berkata individu menyebar rakaman menteri itu sedang dikesan kerana membuat kenyataan tidak benar.

Gambar Fahmi Fadzil berucap di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, yang tular baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Tiada sebarang unsur kempen dikesan berhubung ucapan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Rawang, Ahad lalu, kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan.

Katanya, ia hasil penelitian terhadap rakaman video berdurasi 12 minit berhubung ucapan Fahmi di masjid itu.

“Dalam tempoh 12 minit ucapan daripada menteri adalah penerangan berhubung kumpulan muzik, The 1975.

“Kita memanggil lapan saksi termasuk pengadu dan mereka yang hadir bersama ketika ucapan itu dibuat,” katanya menurut Harian Metro pada sidang media di IPK Selangor.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti pemilik akaun yang menyebarkan video itu dan usaha mengesannya giat dilakukan kerana membuat kenyataan tidak benar.

Katanya, tindakan akan diambil kepada orang yang menyebarkan berita berkenaan.

“Jika perkara yang benar ‘okay’ tetapi yang memfitnah adalah sesuatu kesalahan bawah jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Pada Isnin, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan menerima aduan dan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berhubung insiden berkenaan.

Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata, tindakan lanjut akan diambil selepas siasatan selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.