Fahmi hantar notis tuntutan berkait ‘fitnah’ ceramah politik di masjid

Fahmi hantar notis tuntutan berkait ‘fitnah’ ceramah politik di masjid

Menteri itu menuntut antara lain penarikan balik kenyataan fitnah tersebut dan permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

Semalam, Fahmi Fadzil menyanggah dan kecewa dengan fitnah dilemparkan konon beliau berkempen di masjid serta menegaskan sedia memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Agama Islam Selangor.
KUALA LUMPUR:
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menghantar notis tuntutan hari ini kepada dua individu termasuk penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani berhubung fitnah konon beliau memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang pada 30 Julai lalu.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi berkata notis sama turut dihantar kepada pemilik dan pentadbir Laman Facebook “N13 Kuang”.

Beliau berkata, kenyataan fitnah dikeluarkan oleh kedua-dua individu melalui akaun Facebook dan Instagram adalah berniat jahat untuk menjatuhkan nama baik Fahmi seterusnya menggambarkan seolah-olah beliau menderhaka terhadap arahan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan mengadakan ceramah politik di masjid.

Katanya melalui notis itu, Fahmi yang juga pengarah komunikasi Pakatan Harapan menuntut antara lain penarikan balik kenyataan fitnah itu dan permohonan maaf secara terbuka daripada kedua-dua individu dalam tempoh 24 jam.

Peguam itu berkata jika kedua-dua individu gagal memenuhi tuntutan tersebut, pihaknya telah diarah memfailkan tuntutan saman fitnah di mahkamah terhadap mereka dengan serta-merta.

Semalam, Fahmi menyanggah dan kecewa dengan fitnah dilemparkan kononnya beliau berkempen di masjid serta menegaskan sedia memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Agama Islam Selangor jika diperlukan.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan tiada sebarang unsur kempen politik dalam ucapan Fahmi yang dilaporkan berlaku di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, Ahad lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.