Polis buka kertas siasatan Fahmi berucap di masjid

Polis buka kertas siasatan Fahmi berucap di masjid

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Fahmi Fadzil menafikan menggunakan masjid untuk berkempen susulan gambar tularnya yang berucap di ruang solat utama masjid di Rawang.
PETALING JAYA:
Polis membuka kertas siasatan berhubung gambar tular Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berucap di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang pada kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata rakaman ucapan di dalam masjid itu juga telah diperolehi dan akan diteliti untuk siasatan lanjut.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kejadian itu.

“Kita akan beri maklum balas serta perkembangan mengenai kes terbabit dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas satu majlis di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini, menurut Harian Metro.

Semalam, Jabatan Agama Islam Selangor dilaporkan melancarkan siasatan selepas menerima aduan berhubung gambar tular di media sosial berkenaan.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) kerana disyaki menghina pihak berkuasa agama.

Fahmi sebelum itu menafikan beliau menggunakan masjid untuk berkempen sebaliknya singgah untuk solat Zohor sahaja di masjid itu kerana berdekatan dengan lokasi program seterusnya.

Katanya, beliau hanya memberi penjelasan berhubung isu kumpulan The 1975 selepas diminta oleh kariah masjid terbabit.

Sementara itu, Fahmi yang dipetik NST berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk memfailkan saman terhadap mereka yang memfitnah kononnya ucapannya berbaur politik di masjid berkenaan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sekiranya dipanggil oleh mereka.

“Buat masa ini, saya masih belum dipanggil oleh Jais lagi, tetapi jika ada, Insya-Allah saya sedia memberi kerjasama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.