
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook pada Jun mengumumkan jemaah menteri telah meluluskan pembangunan semula lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB) di Subang, dengan reka bentuk dan butiran lain akan dimuktamadkan dalam tempoh sebulan.
Keputusan itu susulan cadangan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk membangunkan semula lapangan terbang itu menjadi hab penerbangan serantau dengan usahasama bersama Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB).
Menurut sumber berkenaan, SSSB akan dilantik sebagai kontraktor projek. SSSB adalah anak syarikat WCT Holdings Bhd, dimiliki taikun hartanah Desmond Lim.
Projek itu akan melibatkan pembinaan lapangan terbang “hijau” baharu, bangunan komersial dan ruang letak kereta.
Menurut sumber itu, pelan usahasama berkenaan memerlukan sehingga RM290 juta wang pembayar cukai bagi projek itu. Sebagai tambahan, ada perancangan mengenakan surcaj pembangunan lapangan terbang untuk penumpang berusia lebih 15 tahun yang buat masa ini dicadangkan RM6 seorang bagi warganegara, dan RM30 bagi warga asing.
Difahamkan juga, lembaga pengarah MAHB meluluskan pelan itu walaupun kajian kebolehlaksanaan menunjukkan hasil kurang memberangsangkan, selain tanpa kelulusan kementerian kewangan serta pengangkutan.
Menurut kajian dilaksanakan Netherlands Airport Consultants (NACO), perunding terkemuka berpangkalan di The Hague pelan itu akan menjejaskan lalu lintas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan mungkin mengakibatkan kehilangan sehingga dua juta penumpang di situ setahun.
Ia menjangkakan penerbangan yang buat masa ini mendarat di KLIA akan dialihkan ke SZB, seterusnya memberi kesan negatif terhadap Malaysia Airlines yang beroperasi di Sepang.
Namun begitu, katanya, SZB mungkin masih tidak dapat menarik penumpang serantau yang ramai disebabkan kekurangan bilangan jet penumpang besar di rantau ini.
Ia turut berisiko hilang fokus sebagai hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) jet peribadi, kata sumber itu.
Katanya, syarikat penerbangan antarabangsa lebih berkemungkinan selesa beroperasi di KLIA disebabkan kehadiran rakan penerbangan lain dan kesalinghubungan lebih baik.
“MAHB, yang sebelum ini membantah perancangan itu juga mesti menjelaskan perubahan pendiriannya,” kata sumber itu.
Dua tahun lalu, The Edge Markets melaporkan unjuran oleh pengendali lapangan terbang antarabangsa bahawa pelan pembangunan semula akan mengakibatkan kerugian sehingga RM11.9 bilion.
“Jadi kenapa tiba-tiba ‘U-turn’?” soal sumber itu.
Sementara itu, sumber lain yang enggan dinamakan turut mempertikai perancangan berkenaan. Katanya, proses itu tidak seiring dengan aspirasi “Madani” kerajaan perpaduan untuk pentadbiran baik, ketelusan dan akauntabiliti, malah membangkitkan pelbagai persoalan.
“Pertamanya, mengapakah RM300 juta wang pembayar cukai diperlukan melihat kepada kekuatan kewangan rakan usahasama yang dicadangkan dalam projek itu?”
“Jika dana awam diperlukan, proses itu patut melalui tender terbuka bagi menentukan model perniagaan terbaik dan kaedah penggunaan wang kerajaan paling optimum.
“Tanpa proses tender terbuka, apakah kriteria digunakan untuk pemilihan kontraktor?”
Sumber itu turut menggesa kerajaan menjelaskan caj pembangunan lapangan terbang tambahan yang akan dikenakan kepada penumpang.
FMT berusaha menghubungi MAHB dan WCT untuk mengulas perkara ini.