
Kayveas, 69, yang memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Kesavan di Mahkamah Tinggi pada 7 Julai lalu, menamakan menteri dalam negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) sebagai responden pertama dan kedua.
Beliau memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan Badrul Hisham Alias daripada Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan, Kementerian Dalam Negeri, mewakili responden pertama (menteri dalam negeri) melalui surat bertarikh 11 April lalu yang meluluskan rayuan pembatalan pendaftaran parti tersebut.
MyPPP dibatalkan pendaftarannya pada 14 Jan 2019.
Ahli politik veteran itu juga antara lain memohon deklarasi bahawa Mesyuarat Agung Tahunan yang diadakan pada 19 Mac lalu tidak sah, selain mendakwa pelantikan Maglin sebagai presiden MyPPP tidak sah kerana melanggar perlembagaan myPPP.
Kayveas memfailkan permohonan itu antaranya atas alasan tindakan Badrul Hisham yang meluluskan rayuan myPPP melalui surat bertarikh 11 April lalu adalah salah di sisi undang-undang.
Beliau mendakwa, kedua-dua responden gagal mengambil kira bahawa Mesyuarat Agung Tahunan Ke-67 diadakan pada 19 Mac lalu yang melantik Maglin sebagai presiden myPPP adalah tidak sah berikutan 13 individu yang hadir pada mesyuarat itu dilucutkan keahlian mereka berkuat kuasa 25 April 2018.
Menerusi semakan sistem mahkamah, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Amarjeet Singh pada 3 Ogos.