Harap undi beralih daripada MIC, calon PN yakin mampu rampas Subang Jaya

Harap undi beralih daripada MIC, calon PN yakin mampu rampas Subang Jaya

Dulu pelawak kini ahli politik, S Gana percaya Pakatan Harapan tidak lagi relevan untuk masyarakat India.

S Gana Pragasam berkata, pengundi India tidak akan menyuarakan sokongan secara terbuka kepada PN disebabkan persepsi negatif diwujudkan PH. (Gambar Facebook)
SUBANG JAYA:
Calon Perikatan Nasional (PN), S Gana Pragasam mengharapkan undi beralih daripada penyokong MIC untuk menang di Subang Jaya.

“Kami memang menjangkakan undi beralih daripada penyokong MIC. Walaupun mereka tidak menyatakannya secara terbuka, saya pasti mereka akan mengundi saya,” katanya kepada FMT.

Dulu pelawak kini ahli politik, Gana berkata, pengundi India secara umum tidak akan menyuarakan sokongan secara terbuka kepada PN disebabkan persepsi negatif diwujudkan Pakatan Harapan (PH).

“PH menggunakan kami sebagai alat politik (untuk menakutkan pengundi); mereka mendakwa kami akan mengislamkan bukan Melayu dan sebagainya. Namun realitinya berbeza, PN menerima semua orang tanpa mengira bangsa dan agama.”

Beliau percaya akan mendapat sokongan pengundi MIC di Subang Jaya kerana parti itu tidak bertanding dalam PRN bulan depan.

“Mereka tidak percaya PH memperjuangkan orang India dan kepentingan mereka.”

Awal bulan lalu, PN Selangor mendakwa ahli MIC meninggalkan parti itu dan menyertai gabungan berkenaan bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat India.

Gana akan berdepan Michelle Ng dari PH, yang mempertahankan kerusi itu, dan Zayd Shaukat Ali dari Muda.

Beliau tidak gentar melawan Ng, yang memenangi kerusi itu pada 2018 dengan majoriti 48,272 undi.

Katanya, beliau mampu memenangi undi masyarakat Cina yang merangkumi 56% pengundi Subang Jaya.

“Apabila turun padang, pengundi Cina mengadu mengenai pentadbiran semasa, khususnya berkait perniagaan,” katanya, dengan menambah ramai berdepan masalah pelesenan.

Beliau juga percaya dirinya memiliki apa diperlukan untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Saya membuatkan orang ketawa lebih 20 tahun. Bukan mudah membuatkan orang ketawa, jadi kenapa tidak percaya saya juga mampu berkhidmat kepada rakyat pada masa sama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.