
PETALING JAYA: Pemberian bantuan e-tunai RM100 kepada semua rakyat berusia 21 tahun ke atas berpendapatan RM100,000 ke bawah akan dilaksanakan pada suku keempat tahun ini.
Kementerian Kewangan, menerusi akaun Facebook rasminya, memaklumkan pihaknya sedang memperincikan inisiatif tersebut dengan pemegang taruh.
Tambahnya, bantuan e-tunai ini dijangka memberikan manfaat kepada lebih 10 juta penerima, merangkumi golongan B40 dan M40.
Semasa melancarkan kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat pada Khamis lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju menawarkan kredit e-tunai RM100 kepada semua rakyat dewasa berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah.
Menurutnya, bantuan ini melibatkan peruntukan RM1 bilion.