Dakwa kerajaan dikuasai bukan Islam, Ahli Parlimen DAP buat laporan terhadap Muhyiddin

Dakwa kerajaan dikuasai bukan Islam, Ahli Parlimen DAP buat laporan terhadap Muhyiddin

Syerleena Abdul Rashid memfailkan laporan polis terhadap Pengerusi PN Muhyiddin Yassin atas kenyataan yang dikatakan terus memainkan isu 3R.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid berkata, Muhyiddin Yassin cuba ‘memecah-belahkan rakyat dengan menyebarkan ketakutan’. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid memfailkan laporan polis terhadap Muhyiddin Yassin kerana menuduh kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim “dikuasai” oleh orang bukan Melayu, yang dibuktikan melalui isu “Allah”.

Syerleena menggesa polis menyiasat pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Akta Hasutan 1948.

Beliau menuduh PN hipokrit apabila memainkan isu 3R (agama, raja dan kaum) untuk meraih sokongan bagi PRN.

“Tujuan beliau (Muhyiddin) jelas, (iaitu) untuk memecahbelahkan rakyat dengan menyebarkan ketakutan,” kata bekas Adun Seri Delima itu pada sidang media hari ini.

Syerleena berkata, Muhyiddin ketika sidang media pada 22 Jun berkata, PN akan mengelak isu 3R dan memberikan tumpuan kepada menangani perkara “penting” seperti kos sara hidup yang tinggi.

Bagaimanapun, pada ceramah PN malam tadi, Muhyiddin berkata, ketika beliau menjadi menteri dalam negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dari 2018 hingga 2020, beliau mendapat tekanan daripada DAP untuk tidak membenarkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah “Allah” oleh seorang wanita Sarawak dalam pembelajaran agamanya.

Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu berkata, beliau menggesa kerajaan PH merayu keputusan Mahkamah Tinggi, tetapi tidak diteruskan kerana kerajaan Anwar mula berkuasa tahun lepas.

Dakwanya, keputusan untuk menggugurkan rayuan itu dibuat atas desakan DAP.

“Walaupun ketika saya bersama mereka (dalam kerajaan PH), mereka mendesak untuk tidak membenarkan rayuan,” kata Muhyiddin.

Isu itu timbul apabila seorang individu bernama Jill Ireland memohon perintah mahkamah agar beliau dibenar menggunakan kalimah “Allah” bagi tujuan pembelajaran agama dalam bahasa Melayu dan bahasa ibundanya, iaitu Melanau , di Sarawak.

Dalam keputusan penting pada Mac 2021, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1986 melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam sebagai menyalahi undang-undang dan bercanggah dengan Perlembagaan.

Kerajaan memfailkan rayuan, tetapi pada 18 April tahun ini, Jabatan Peguam Negara, yang mewakili KDN, memaklumkan Mahkamah Rayuan bahawa ia tidak mahu meneruskan kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.