
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata agensi antirasuah itu tidak dapat mengesan ejen dan juga warga China terbabit.
“Kami (turut) menyemak rekod Imigresen dan sistem menunjukkan kedua-duanya sudah meninggalkan negara ini,” katanya selepas majlis pelancaran kamera badan dan jaket di Ibu Pejabat SPRM di sini.
Menjawab dakwaan dua individu itu sebenarnya masih berada dalam negara, beliau menggesa pihak mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan SPRM.
Buat masa ini, beliau sudah mengarahkan agensinya menamatkan siasatan dan menyerahkan laporan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Awal bulan ini, Azam dilaporkan berkata, SPRM sedang menjejaki ejen dipercayai warga asing itu atas dakwaan meminta bayaran bagi membantu seorang warga China selepas dia didakwa ditahan daripada memasuki Malaysia.
Ejen itu dipercayai dikaitkan dengan syarikat dilantik sekumpulan syarikat penerbangan bagi menguruskan pelancong dikenakan Notis Tolak Kemasukan (NTL).
Akhir Jun lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing mengakui beliau ialah menteri dikaitkan dengan kekecohan di balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membantu seorang warga China dilarang memasuki Malaysia.
Beliau turut mendakwa wujud budaya rasuah dalam segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa “kronik” di pintu masuk negara.
Azam berkata, SPRM sudah mengambil keterangan sekurang-kurangnya 14 individu terbabit dalam kekecohan itu, termasuk Tiong, wanita China terbabit dan lapan pegawai imigresen.
Kamera badan dan jaket
Azam berkata, SPRM sudah memperoleh 142 unit kamera badan dan jaket bagi meningkatkan ketelusan dalam operasinya dan membantu melindungi pegawainya daripada dakwaan penyelewengan.
“Dengan adanya kamera badan ini, saya yakin kami boleh mengelak dakwaan tidak berasas terhadap pegawai kami ketika bertugas.”
Katanya, kad SD daripada kamera badan yang disimpan SPRM akan diserahkan kepada mahkamah sebagai bukti, jika perlu.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Putrajaya atas peruntukan tambahan RM20 juta kepada SPRM, yang sebahagiannya digunakan untuk membeli kamera badan dan jaket itu.
Ditanya berapa banyak dibelanjakan atas peralatan itu, beliau bagaimanapun enggan memberikan butiran dan hanya memaklumkan ia dibeli pada harga pasaran.