
Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata polis percaya suspek mempunyai pengetahuan dalam pembuatan bahan letupan.
Katanya, ketika bom itu ditemukan ia dalam keadaan tertutup.
“Antara bahan ditemukan dipercayai untuk menghasilkan bahan letupan itu adalah kain, diesel, wayar, bateri dan mercun.
“Ketika ditemukan, ia dalam keadaan ‘switch off’ (tertutup) dan untuk menghidupkannya perlu ditekan suis itu secara fizikal.
“Saya yakin, suspek ini mempunyai ilmu dalam pembuatan bahan letupan dan diharap spekulasi perkara ini akan berhenti setakat ini,” katanya dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur, menurut Utusan Malaysia.
Shuhaily ketika mengulas lanjut berkata, 13 individu diambil keterangan terdiri daripada mangsa, rakan, mekanik, dan pengawal keselamatan kediaman mangsa.
“Sesiapa sahaja kami rasakan saksi yang ada melalui kenderaannya, kita panggil beri keterangan. Semua mereka dalam lingkungan umur antara 26 hingga 60 tahun.
“Kita meneliti semua kamera litar tertutup (CCTV) yang melibatkan perjalanan aktivis (Siti Kasim) ini dan masih mencari petunjuk,” katanya.
Pada 21 Julai lalu, Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor, mengesahkan dua objek ditemukan di bahagian bawah kereta Siti Kasim atau nama sebenar Siti Zabedah Kasim adalah bom jenis IED.
Beliau dilaporkan berkata, ia berdasarkan siasatan dilakukan Unit Pemusnah Bom (UPB) dan kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta letupan 1957.
Pada 24 Julai Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata penemuan bom buatan sendiri itu “umpama cubaan bunuh”.