Bersatu buat laporan terhadap Anwar, Zahid atas ‘ugutan’, ‘suapan’ pilihan raya

Bersatu buat laporan terhadap Anwar, Zahid atas ‘ugutan’, ‘suapan’ pilihan raya

Seorang pemimpin Pemuda menuduh perdana menteri dan timbalannya melakukan salah guna kuasa dan menawarkan rasuah menjelang PRN.

Ketua Pemuda Bersatu Kuala Lumpur Safwan Manoga membuat laporan polis berhubung kenyataan Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi pada ceramah baru-baru ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang ahli Bersatu membuat dua laporan polis, satu terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan satu lagi terhadap timbalannya, Zahid Hamidi, berhubung kenyataan mereka baru-baru ini.

Ketua Pemuda Bersatu Kuala Lumpur Safwan Manoga menuduh Anwar mengugut untuk menyiasat seteru politiknya jika mereka tidak “memulangkan wang dan harta yang dicuri daripada rakyat”.

Anwar didakwa berkata demikian semasa berucap pada Program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kelantan, di Machang, Kelantan.

Laporan terhadap Zahid pula berhubung pengumumannya pada Jumaat lepas mengenai geran RM500,000 untuk belia di Terengganu, di mana beliau didakwa meminta mereka mengundi “gelombang biru dan merah” pada PRN.

Terengganu adalah antara enam negeri yang akan mengadakan PRN pada 12 Ogos.

Safwan mendakwa, Anwar menyalahgunakan kuasanya dengan menggunakan maklumat yang diperolehi dalam kapasitinya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk mengugut pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Katanya, kenyataan Anwar itu, yang tular dalam talian, semata-mata bertujuan menimbulkan persepsi negatif tentang PN.

Safwan turut menuduh perdana menteri mengugut menggunakan agensi penguatkuasaan untuk menyiasat dan mengenakan pendakwaan jenayah terpilih terhadap pemimpin pembangkang.

Berkenaan Zahid, Safwan berkata, pengumuman dan janji lebih dana jika keputusan PRN memihak kepada mereka adalah suatu penyalahgunaan kuasa.

Tambahnya, perbuatan itu menjadi kesalahan pilihan raya kerana “merupakan rasuah”.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata, kenyataan Zahid itu bukan satu kesalahan kerana peruntukan itu merupakan inisiatif peringkat persekutuan.

Anwar ketika turut mempertahankan timbalannya berkata, dana itu tiada kaitan dengan PRN dan Putrajaya tidak boleh berhenti membuat pengumuman penting hanya disebabkan pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.