
Perdana menteri memfailkan saman terhadap Sanusi Disember lalu, selepas pemimpin PAS itu didakwa menyindir presiden PKR terbabit “tiada akhlak”.
Injunksi sementara itu diberikan Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Mahazan Mat Taib dalam kamarnya semalam.
Mahkamah melarang Sanusi, yang juga ketua Perikatan Nasional Kedah, bersama kakitangan dan ejennya mengulangi kenyataan fitnah tersebut sehingga saman itu selesai.
Peguam SN Nair yang mewakili Anwar berkata, Sanusi “degil dan tekad” mengulangi ucapan serta kenyataan fitnah sama dalam dua ceramah baru-baru ini, walaupun sedar saman itu belum selesai.
“Jika beliau mengulangi perkara sama dan melanggar syarat injunksi, ia merupakan penghinaan mahkamah dan tertakluk kepada prosiding komital serta boleh dikenakan ganti rugi.”
Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar mendakwa Sanusi membayangkan dirinya menyalahgunakan kuasa sebagai Ahli Parlimen, penipu, pengkhianat, munafik dan bukan umat Islam yang baik.
Anwar berkata, Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan penuh pada 16 Jun 2018 bagi tiga sabitan terhadapnya – iaitu satu tuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan liwat – atas alasan berlaku “salah laksana keadilan”.
Katanya, pengampunan itu juga diperkenan atas dasar berlaku konspirasi untuk memusnahkan karektornya.