
Terdahulu Papagomo dan Syed Muhammad Imran mengumumkan satu program dikenali sebagai “Bossku Nak Apa?” yang dihoskan mereka akan disiarkan pada malam ini. ‘Bossku’ adalah nama panggilan popular Najib.
Papagomo berkata dalam program berkenaan beliau akan membuat pendedahan mengenai penipuan yang dibuat Presiden Umno Zahid Hamidi untuk menggunakan Najib dan Umno untuk kepentingan Anwar Ibrahim.
Anak perempuan Najib, Nooryana Najwa berkata beliau menerima pesanan daripada bapanya yang menyatakan Papagomo dan Syed Muhammad Imran tidak mewakili Najib walaupun mereka adalah penyokongnya.
Katanya, Syed Muhammad Imran juga tidak diarahkan Najib untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai pendirian beliau.
“Najib sudah berada dalam penjara hampir setahun dan tidak adil bagi Syed Muhammad Imran atau mana-mana individu lain untuk tunggang atau mempergunakan nama beliau.
“Telah banyak ujian dan cabaran yang Najib lalui. Beliau tahu menilai yang mana satu kawan yang mana satu lawan,” katanya di Facebook.
Menurut Nooryana, pendirian rasmi bapanya hanya sah sekiranya ianya dimuat naik dalam saluran media sosial rasmi milik Najib melalui mesej kepada peguamnya.
Sebelum ini Syed Muhammad Imran yang juga presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara mendakwa semua ahli dan penyokong Najib menzahirkan sokongan kepada Perikatan Nasional.
Dia yang dipetik Sinar Harian, berkata gesaan dibuat kerana mereka mendakwa telah hilang kepercayaan terhadap Zahid.
Perdana menteri keenam itu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).