Mahdzir tempuh laluan sukar di DUN Pedu, kata penganalisis

Mahdzir tempuh laluan sukar di DUN Pedu, kata penganalisis

Penganalisis politik percaya tahap sokongan kepada PAS di Kedah terlalu kuat untuk ketua BN negeri itu memberi impak.

Penganalisis berkata, Mahdzir Khalid dari Umno mungkin berdepan kekalahan kerana sokongan padu terhadap Sanusi Md Nor dan PAS di Kedah.
PETALING JAYA:
Ketua Umno Kedah Mahdzir Khalid dijangka menempuh laluan sukar menang di kerusi DUN Pedu berikutan kekuatan sentimen PAS di negeri itu, kata penganalisis politik.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata Mahdzir mungkin mengulangi prestasi buruk pada PRU15 apabila hanya memperoleh 28.7% undi di Parlimen Padang Terap.

“Sukar untuk melihatnya bersaing kerana beliau kalah hampir 11,000 undi pada pilihan raya umum lalu. Dia memang berjaya menambah jumlah undi, tetapi kurang daripada 1,000 undi, walaupun terdapat peningkatan hampir 10,000 pengundi yang layak,” katanya kepada FMT.

Azmil berkata beliau percaya penyokong Umno di Pedu berkemungkinan besar akan beralih kepada Perikatan Nasional (PN) atau tidak keluar mengundi kerana tidak berpuas hati dengan kerjasama antara Umno dan DAP dalam gabungan kerajaan perpaduan.

“Tidak banyak yang Mahdzir boleh buat, partinya (Umno) yang bermasalah,” katanya.

Azmil berkata Sanusi Md Nor daripada PAS, yang menjadi menteri besar pada 2018, “terlalu popular di negeri ini, terutama di kalangan anak muda Melayu”.

Mahdzir, yang merupakan ketua BN Kedah, juga pernah menjadi menteri besar Kedah dari 2005 hingga 2008.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, Azmi Hassan pula berkata rakyat di Pedu masih memberi sokongan kuat kepada PAS dan Sanusi.

“PAS masih kuat. Ada yang mengatakan gelagat Sanusi akan memakan diri PAS tetapi orang Kedah seperti Sanusi menentang kerajaan pusat dan ini meresap masuk ke tempat lain termasuk Pedu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, mereka yang berusia antara 21 hingga 39 mungkin tidak mudah terpengaruh dengan retorik perkauman yang mungkin boleh dimanfaatkan Mahdzir.

“Beliau harus berkempen untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan Kedah boleh menjadi lebih mesra kepada Pulau Pinang dan kerajaan persekutuan,” katanya merujuk kemajuan dinikmati di Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.