
Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Azinee Taib, 33, mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan itu selepas ia dibacakan di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati, menurut Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa bersama-sama dua lagi rakan sejenayah yang masih bebas telah memecah masuk ke sebuah rumah di Taman Benut Utama, Benut bagi mencuri kira-kira 12.05 tengah hari, 8 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia dituduh bersama-sama dua rakannya, Muhammad Hairul Hafiz Muzaren, 24, dan Khairul Akmal Zainol Abidin, 31, telah memecah sebuah rumah di Taman Cendana, Benut bagi mencuri kira-kira 1.15 petang, 3 Jul lalu.
Bagi pertuduhan ketiga pula, Mohd Azinee dituduh menyimpan harta curi membabitkan sebuah telefon bimbit jenama OPPO A5 berwarna putih milik mangsa rumah yang dipecah masuk di Jeti Nelayan Ayer Baloi kira-kira 4.30 petang, pada hari sama dengan kes kedua.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Selain itu, pertuduhan turut dikemukakan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurezzati Zaini mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nur Azzuin membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan serta seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan kes pada 30 Ogos depan.