Saya tak lari dari kawasan, Anwar yang suka ‘lompat’, kata Azmin

Saya tak lari dari kawasan, Anwar yang suka ‘lompat’, kata Azmin

Bekas Ahli Parlimen Gombak itu berkata kekal di kawasan kelahirannya sejak 1999, berbanding Anwar yang lari daripada Permatang Pauh sehingga Tambun.

Azmin Ali yang mewakili Perikatan Nasional (PN) berdepan Juwairiya Zulkifli dari Pakatan Harapan (PH) di Hulu Kelang pada PRN.
GOMBAK:
Bekas menteri besar Azmin Ali menegaskan beliau tidak pernah meninggalkan DUN Hulu Kelang seperti didakwa musuh politik, sebaliknya mendakwa perbuatan melompat kawasan gemar dilakukan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi itu berkata beliau konsisten kekal bertanding di kawasan kelahirannya sejak 1999, berbanding Anwar yang lari daripada Permatang Pauh, kemudian ke Port Dickson dan Tambun pada PRU lepas.

“Hulu Kelang merupakan political base saya, saya diberi mandat dalam politik ini seawal 1999 di Hulu Kelang dan ketika saya dipilih menjadi Ahli Parlimen Gombak, Hulu Kelang adalah dalam Parlimen Gombak, jadi tak timbul soal lari seperti didakwa musuh politik saya.

“Yang lari daripada ‘political based’ adalah orang seperti (Anwar) dari Permatang Pauh, lari ke Port Dickson lari ke Tambun…itu lari,” katanya kepada media selepas penamaan calon DUN Hulu Kelang.

Azmin, berpindah dari DUN Bukit Antarabangsa ke Hulu Kelang berdepan Timbalan Ketua Wanita PKR Juwairiya Zulkifli yang juga dipindahkan dari DUN Bukit Melawati.

DUN Hulu Kelang merupakan kerusi majoriti Melayu yang dimenangi dan dipertahankan aktivitis reformasi dan pemimpin Amanah, Saari Sungib, selama tiga penggal berturut-turut.

Beliau yang memenangi DUN Hulu Kelang atas tiket PKR mengumumkan tidak mempertahankan kerusi itu pada PRN ini, kerana masalah kesihatan.

Pada PRU15, Azmin gagal mempertahankan Parlimen Gombak yang disandang selama tiga penggal, di tangan Menteri Besar Amirudin Shari.

Mengulas keyakinan menawan semula DUN Hulu Kelang selepas kekalahan besar pada PRU15, Azmin berkata beliau enggan menoleh ke belakang sebaliknya mahu bangkit memperbaiki rekod lampau.

“Saya reda atas kekalahan lalu, kita telah lakukan muhasabah mungkin ada kelemahan yang harus diperbaiki,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.