Polis cari suspek gangguan seksual di stesen LRT

Polis cari suspek gangguan seksual di stesen LRT

Polis sedang mengesan suspek selepas menerima laporan polis daripada mangsa pagi semalam.

Tangkap layar video tular kejadian gangguan seksual yang berlaku di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Maluri semalam.
PETALING JAYA:
Polis memburu seorang lelaki yang melakukan gangguan seksual terhadap wanita di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Maluri dalam kejadian semalam yang tular di media sosial.

Ketua Polis Cheras, Zam Halim Jamaluddin, berkata laporan polis diterima pihaknya pada 8.49 pagi.

“Wanita berusia 27 tahun itu membuat laporan polis di Balai Polis Cheras, pihak polis kini sedang dalam usaha untuk mengesan suspek terbabit.

“Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan. Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkannya kepada Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular satu video memaparkan tindakan lelaki terbabit yang melakukan gangguan seksual terhadap wanita berkenaan di stesen LRT.

Dalam video berdurasi seminit 11 saat itu turut menunjukkan wanita terbabit diselamatkan orang awam yang berada di tempat kejadian.

Sementara itu, RapidKL dalam kenyataan, memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan polis untuk mengesan suspek yang disyaki mengalami gangguan mental itu.

“Kita kesal dengan kejadian yang berlaku dan tindakan segera telah diambil menambah anggota polis bantuan di stesen-stesen untuk meningkatkan keselamatan bagi mengelakkan ia berulang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.