Polis buru lelaki baling batu ke ibu pejabat PAS

Polis buru lelaki baling batu ke ibu pejabat PAS

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pihaknya yakin suspek akan dapat ditangkap dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kejadian pada 5.30 pagi itu menyebabkan dinding kaca ibu pejabat PAS Pusat di Jalan Raja Laut pecah.
KUALA LUMPUR:
Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian ibu pejabat PAS Pusat di Jalan Raja Laut dibaling batu oleh seorang lelaki tidak dikenali mengakibatkan dinding kacanya pecah.

Razarudin berkata, kejadian berlaku pada 5.30 pagi tadi dan polis giat mengesan suspek terlibat dengan dibantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Dalam kejadian itu, suspek yang menaiki motosikal membuat bising sebelum bertindak membaling batu ke dinding kaca pejabat berkenaan. Perkara itu dilihat oleh pengawal yang bertugas di bangunan itu.

“Polis sedang mengesan suspek terlibat, insya-Allah dalam masa terdekat kita akan dapat menjejakinya,” katanya dalam sidang media khas mengenai Ops Cantas sempena PRN di Bukit Aman.

Beliau berkata, polis sedang menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran bagi membantu usaha mengenal pasti individu berkenaan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat.

Pagi tadi, parti itu membuat laporan polis selepas dinding kaca di ibu pejabat PAS Pusat dibaling dengan batu oleh seorang lelaki, beberapa jam sebelum bermula proses penamaan calon PRN di enam negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.