Warga emas maut kereta dirempuh lori tangki

Warga emas maut kereta dirempuh lori tangki

Esa Markam, 61, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Keadaan di lokasi kemalangan selepas Proton Waja dirempuh lori tangki di Jalan Mersing-Endau semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang warga emas maut selepas keretanya dirempuh lori tangki di KM3 Jalan Mersing-Endau, petang semalam.

Esa Markam, 61, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Mersing, Abdul Razak Abdullah Sani, berkata pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada 3.30 petang.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tangki dari arah Mersing yang dipandu seorang lelaki tempatan 38 tahun melanggar Proton Waja dipandu mangsa keluar dari simpang di sebelah kiri dan memasuki laluan lori secara tiba-tiba.

“Akibat kejadian itu, mangsa yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu lori tidak cedera,” katanya menurut Sinar Harian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Anuar Hussine, berkata enam anggota bomba dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi ditamatkan pada 3.23 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.