
Kumpulan pejuang pendidikan Tiada.guru menggesa kerajaan mengeluarkan pekeliling menawarkan perlindungan kepada pemberi maklumat apabila diminta memberi keterangan di mahkamah.
Kerajaan turut digesa mengingatkan semua pegawai dan kakitangan kementerian bahawa sebarang bentuk balas dendam terhadap pemberi maklumat merupakan kesalahan disiplin serius.
Kumpulan itu berkata, dasar perlindungan pemberi maklumat kementerian tidak merangkumi kes sedang menanti dibicarakan di mahkamah atau tribunal.
Sambil menggesa pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, kumpulan itu berkata, perlindungan juga mesti diberikan kepada mereka yang mahu mendapatkan nasihat perundangan atau membuat laporan kepada entiti selain eksekutif, termasuk media.
Ia turut menggesa pembentukan ombudsman awam bebas yang diberi kuasa menyiasat kes salah laku teruk dalam kalangan kakitangan awam dan mengenakan langkah disiplin atau perundangan sewajarnya sambil melindungi pemberi maklumat.
“Kita mesti melindungi wira yang masih ada di Malaysia. Tanpa pemberi maklumat, tiada kebenaran berhubung dasar, kementerian, agensi dan institusi,” kata jurucakap Tiada.guru kepada FMT.
Kumpulan itu mengulas ganti rugi RM90,000 kepada tiga bekas pelajar SMK Taun Gusi di Kota Belud, Sabah yang menyaman bekas guru dan beberapa pihak kerana enggan mengajar mereka bahasa Inggeris pada 2017.
Plaintif mendakwa guru mereka, Jainal Jamran diarah mengajar bahasa Inggeris tiga kali seminggu dari Januari hingga Oktober 2017, tetapi hanya hadir untuk dua bulan pertama.
Seorang lagi guru, Nurhaizah Ejab mendakwa diugut bunuh dan tayar keretanya dikelar selepas memfailkan aduan terhadap Jainal dengan pihak berkuasa sekolah.
Saman itu menamakan bekas pengetua Jainal, Suid Hanapi, ketua pengarah pendidikan, Kementerian Pendidikan dan kerajaan persekutuan sebagai defendan.
Sementara itu, Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE) menggesa kerajaan tidak “terlalu bersemangat” mempertahankan guru dalam kes sedemikian.
Pengerusinya, Noor Azimah Rahim berkata, ia penting malah diwajibkan guru bertindak sebagai pemberi maklumat, jika melihat salah guna kuasa rakan sekerja, khususnya dalam masyarakat kurang berkemampuan.
“Guru mesti mempunyai integriti dan akauntabiliti atau menghadapi tindakan undang-undang,” katanya sambil menambah guru perlu menjadi contoh baik kepada murid mereka.