
Pegawai pengurus pilihan raya DUN Kuah yang juga Pegawai Daerah Langkawi, Abdul Gafar Yahya, mengesahkan jumlah jualan borang pencalonan bagi PRN kali ini agak luar biasa.
“Sehingga petang semalam, jumlah penjualan borang adalah 16 dengan tujuh set dijual untuk DUN Ayer Hangat, sembilan lagi bagi DUN Kuah,” katanya menurut Harian Metro.
Borang itu dijual di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi (PDTL), Kedah, pada harga RM20 setiap set.
Bekas ketua PKR Langkawi, Adnan Hasan, secara terbuka mengaku membeli borang pencalonan di PDTL pagi semalam.
“Saya akan bertanding sebagai calon bebas di DUN Kuah kerana melihat rata-rata pengundi berubah emosi lebih menyokong calon berbanding parti.
“Saya mempunyai banyak pengalaman dan pengetahuan dalam kerjaya politik yang boleh dijadikan asas untuk berkhidmat kepada pengundi,” katanya yang turut memuat naik status dan gambar dipercayai selepas membeli borang pencalonan di PDTL semalam ke Facebooknya.
Ali Selamat yang juga berhasrat bertanding di DUN Kuah berkata, beliau tidak sabar menanti tarikh penamaan calon esok selepas mengisi borang pencalonan dibeli di PDTL pagi semalam.
Seperti Adnan, beliau turut memuat naik gambar dan status bakal bertanding sebagai calon bebas di DUN Kuah di Facebooknya menggunakan nama “Tok Pala”.
Esok ialah hari penamaan calon bagi PRN enam negeri serta PRK Kuala Terengganu, dengan pengundian awal pada 8 Ogos dan hari pengundian pada 12 Ogos ini.