Zeti tak dimaklum ‘derma’ akan masuk akaun Najib, mahkamah diberitahu

Zeti tak dimaklum ‘derma’ akan masuk akaun Najib, mahkamah diberitahu

Zeti Akhtar Aziz berkata beliau hanya dimaklumkan oleh pengarah urusan AmBank ketika itu bahawa Najib Razak sudah membuka akaun dengan banknya.

Bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz berkata dalam pertemuan dengan pengarah urusan AmBank ketika itu, Cheah Tek Kuang berlangsung singkat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak pernah dimaklumkan berhubung apa jua “derma” melalui akaun Najib Razak.

Beliau ketika memberi keterangan sebagai saksi dalam perbicaraan 1MDB melibatkan bekas perdana menteri itu, Zeti berkata bekas pengarah urusan Ambank, Cheah Tek Kuang ada memaklumkan kepadanya Najib membuka akaun dengan bank itu, dalam pertemuan pada 28 Jan 2011.

Beliau berkata, Cheah memberitahu akaun Najib dirujuk sebagai MR, kod digunapakai dalam sistem perbankan AmPrivate.

Di bawah sistem ini, perincian peribadi, termasuk nama pemegang akaun tidak terdedah kepada pihak ketiga.

“Tiada perkara lanjut lain dibincangkan dan pertemuan juga singkat.

“Selama pertemuan berkenaan, Cheah tidak pernah sebut sebarang derma seperti dimaksudkan masuk ke akaun terbabit,” katanya.

Zeti juga mengesahkan pembukaan akaun Najib dengan AmBank pada 2011 mematuhi semua peraturan perbankan.

Tahun lalu, Cheah memaklumkan beliau bertemu Zeti beberapa hari selepas Najib menandatangani dokumen diperlukan bagi membuka akaun itu.

Cheah berkata, beliau kemudian memberitahu Zeti dalam pertemuan bahawa Najib menjangkakan menerima USD100 juta daripada Arab Saudi.

Najib berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang berkait dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Pendengaran bersambung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.