‘Mustahil’ Guan Eng kembali jadi ketua menteri P Pinang, kata Teresa

‘Mustahil’ Guan Eng kembali jadi ketua menteri P Pinang, kata Teresa

Perlembagaan negeri menghadkan jawatan ketua menteri dipegang hanya dua penggal, kata naib pengerusi DAP itu.

Teresa Kok menyangkal dakwaan seorang bekas ahli DAP bahawa Lim Guan Eng mahu menjadi ketua menteri Pulau Pinang sekali lagi.
KUALA LUMPUR:
Naib Pengerusi DAP Teresa Kok menyifatkan sebagai “mustahil” untuk Lim Guan Eng kembali menjadi ketua menteri Pulau Pinang, menyangkal dakwaan seorang bekas ahli parti bahawa Lim mahukan jawatan tersebut.

Kok berkata, perlembagaan negeri Pulau Pinang tidak akan membenarkan Lim kembali sebagai ketua menteri, memetik had dua penggal bagi jawatan tertinggi negeri itu.

“Berdasarkan perlembagaan Pulau Pinang, mustahil (untuk Lim kembali menjadi ketua menteri),” katanya kepada FMT ketika ditemui pada satu majlis.

DUN Pulau Pinang meluluskan pindaan perlembagaan negeri pada November 2018 untuk mengehadkan jawatan ketua menteri kepada dua penggal.

Lim telah berkhidmat sebagai ketua menteri Pulau Pinang selama dua penggal, dari 2008 hingga 2018.

Awal hari ini, bekas ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai, David Marshel mendakwa Lim mahu mengambil alih jawatan ketua menteri walaupun pengerusi DAP itu telah berulang kali menyatakan sokongan terhadap penyandang, Chow Kon Yeow.

FMT telah menghubungi Lim untuk mendapatkan komen.

Sementara itu, Kok berkata, seorang mangsa serangan asid pada 2010 akan menyambung semula rawatan untuk luka lecurnya lapan tahun selepas berhenti mendapatkan rawatan.

Kok, yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, Nurul Dahyatul Fazlinda Haizan, kini 21, menerima rawatan sehingga 2015 apabila keluarganya memutuskan untuk tidak meneruskannya kerana menetap di Sekayu, Terengganu.

Kok kini akan menanggung kos pengangkutan Nurul, yang akan mendapatkan rawatan di Klinik Premier di Bangsar sebulan sekali.

Kos rawatan yang dianggarkan kira-kira RM20,000 akan ditanggung oleh pihak klinik, katanya.

Nurul disimbah asid oleh bapanya pada 15 Ogos 2010, dan melecur teruk di muka dan badan. Kecederaan yang dialaminya juga menyebabkan lubang hidungnya mengecut, mengganggu pernafasannya.

Bapanya dipenjara tujuh tahun dan telah dibebaskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.