‘Komunikasi lemah’ punca PAS protes pencalonan di Bayan Lepas, kata Lau

‘Komunikasi lemah’ punca PAS protes pencalonan di Bayan Lepas, kata Lau

Presiden Gerakan itu berkata, isu PN harus diselesaikan secara dalaman, bukannya melalui media.

Dominic Lau (duduk, dua dari kanan) berkata, Gerakan akan memberikan penjelasan kepada PN Pulau Pinang.
GEORGE TOWN:
Presiden Gerakan Dominic Lau menyalahkan “komunikasi yang lemah” sebagai punca PAS Bayan Lepas mahu memboikot PRN sekiranya beliau bertanding di kerusi DUN itu.

“Apa sahaja isu kami (Perikatan Nasional Pulau Pinang) ada harus diselesaikan secara dalaman, bukannya melalui media.

“Kami (Gerakan) akan beri penjelasan kepada PN Pulau Pinang,” katanya pada sidang media di sini.

Semalam, Kosmo melaporkan bahagian PAS itu mengugut akan memboikot hari penamaan calon, serta menutup pusat operasinya, sekiranya Lau dinamakan sebagai calon bagi kerusi majoriti Melayu itu.

Kerusi itu ditandingi PAS sejak PRU12 dan pengundi, menurut laporan itu, menuntut calon Melayu.

Awal hari ini, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin mengumumkan Lau sebagai calon gabungan itu di Bayan Lepas, sehari selepas 39 calon gabungan itu di Pulau Pinang diumumkan.

Lau, yang juga timbalan pengerusi PN, berkata jika pencalonannya diumumkan oleh ahli jawatankuasa pusat PN Ronald Kiandee, ia akan melanggar protokol.

Katanya, pencalonannya sepatutnya diumumkan oleh Hamzah, tetapi beliau tidak dapat hadir pada majlis malam tadi.

Ketua PN Pulau Pinang itu kemudian menyangkal dakwaan bahawa beliau menggunakan “kabel” di peringkat nasional untuk melobi kerusi DUN.

Proses pemilihan calon dilakukan secara telus di mana bahagian PN negeri akan mengemukakan senarai calonnya kepada Majlis Presiden PN untuk dimuktamadkan, katanya.

Lau juga berkata, Gerakan akan berkempen untuk menjadikan PRN Pulau Pinang sebagai referendum kerajaan perpaduan dan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Parti itu juga akan memberikan tumpuan kepada mengetengahkan janji kerajaan yang tidak ditunaikan pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.