Terjerat cinta ‘kekasih WeChat’, nelayan rugi RM284,000

Terjerat cinta ‘kekasih WeChat’, nelayan rugi RM284,000

Suspek menawarkan pelaburan mata wang kripto kepada mangsa dengan menghantar pautan melalui WeChat dan menjanjikan pulangan RM200,000 jika melabur RM30,000.

Polis berkata kejadian berlaku apabila mangsa dihubungi suspek iaitu seorang wanita melalui aplikasi WeChat sebelum mereka berkenalan dan jatuh cinta.
IPOH:
Seorang nelayan kerugian RM284,850 apabila diperdaya “kekasih” menerusi pelaburan mata wang kripto tidak wujud.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kerian menerima laporan daripada lelaki berusia 27 tahun itu semalam.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada November lalu apabila mangsa dihubungi suspek iaitu seorang wanita melalui aplikasi WeChat sebelum mereka berkenalan dan jatuh cinta.

Katanya, suspek menawarkan pelaburan mata wang kripto kepada mangsa dengan menghantar pautan melalui aplikasi tersebut pada Januari dan menjanjikan pulangan RM200,000 jika melabur RM30,000.

“Akibat telah jatuh cinta dan terpedaya, mangsa mula membuat pelaburan melalui aplikasi mata wang kripto yang diberikan oleh wanita itu,” katanya dalam kenyataan.

Yusri berkata, mangsa membuat 99 kali transaksi pindahan wang secara dalam talian ke 21 akaun bank dari 6 Mac hingga 15 Julai lalu menggunakan wang simpanan, meminjam daripada ahli keluarga, rakan dan majikan melibatkan kerugian RM284,850.

Menurutnya, selepas mangsa kehabisan wang, suspek tetap meminta dia terus melabur membuatkan lelaki itu meminta wangnya dikembalikan, namun suspek memberi pelbagai alasan dan tidak lagi membalas mesej melalui aplikasi WeChat.

“Mangsa rasa tertipu dan datang ke balai polis untuk membuat laporan. Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Yusri menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan “love scam” dan pelbagai program pelaburan tidak wujud.

“Jangan layan atau mudah percaya individu tidak dikenali di media sosial, selain semak dengan agensi berkaitan sebelum membuat sebarang transaksi dan hanya melabur di platform yang berdaftar dengan Bank Negara serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.