30 Ogos keputusan sama ada ‘tiada pertandingan’ Umno boleh dicabar

30 Ogos keputusan sama ada ‘tiada pertandingan’ Umno boleh dicabar

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada Mac mengesahkan memberi pengecualian yang membenarkan Umno tidak pertandingkan dua jawatan tertinggi.

Tiga ahli BN mendakwa pengecualian menteri dalam negeri membenarkan dua jawatan tertinggi Umno, disandang Zahid Hamidi (kiri) dan Mohamad Hasan, kekal tidak dipertandingkan adalah tidak berperlembagaan.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi akan memutuskan pada 30 Ogos sama ada tiga ahli Barisan Nasional (BN) boleh mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk mengecualikan dua jawatan tertinggi Umno dipertandingkan pada pemilihan parti Januari lalu.

Pada perhimpunan agung 2022 diadakan 14 Jan, parti itu meluluskan usul yang menggesa jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihannya.

Pada Mac, Saifuddin mengesahkan beliau memberikan parti itu pengecualian bawah Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966, yang membenarkan dua jawatan tertinggi kekal tidak dipertandingkan.

Hakim Amarjeet Singh menetapkan tarikh keputusan itu hari ini selepas mendengar hujahan daripada peguam Thalia Rohaina Abdul Latiff, yang mewakili Satarriah Abdul Karim, Zaidi Abdul Majid dan P Vellasamy, serta Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly.

Sattariah dan Zaidi adalah ahli Umno cawangan Lembah Pantai manakala Vellasamy merupakan ahli MIC cawangan Lembah Pantai.

Ketiga-tiga mereka mendakwa keputusan Saifuddin melanggar Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai kesaksamaan, mengatakan ia menafikan ahli lain peluang mencabar penyandang – Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan – masing-masing untuk jawatan presiden dan timbalan presiden.

Mereka berkata tidak diberi hak untuk didengari oleh Saifuddin, dan menteri itu tidak memberikan alasan keputusannya memberikan pengecualian kepada Umno.

Ketiga-tiga mereka mahu mahkamah membatalkan keputusan Saifuddin yang memberikan pengecualian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.