
Dalam kejadian kira-kira 6.25 petang itu, mangsa dikenali sebagai Raja Nurhanani Nabila Raja Hussin, 23, dan bayinya, Nik Muhammad Zayyan Irfan Zulhilmi Ismail serta ibu Raja Nurhanani, Noreha Mohamed, 53.
Turut parah dalam kemalangan itu ialah dua adik Raja Nurhanani iaitu Raja Haikal Najmi Raja Hussin, 20, dan Raja Nurhumairaa Nadzirah Raja Hussin, 17.
Ketua Polis Dungun, Baharudin Abdullah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung dengan kemalangan itu kira-kira jam 7.30 malam.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika lima sekeluarga itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan untuk menghantar Raja Nurhanani dan bayinya pulang ke Kem Tentera Darat Batu 10, Kuantan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Proton Wira yang dipandu Raja Haikal Najmi dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar kotak pembetung yang berada di sebelah kiri jalan lalu terbalik.
“Sepasukan lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dipanggil bagi mengeluarkan semua mangsa,” katanya menurut Berita Harian.
Katanya, Noreha Mohamed dan cucunya, Nik Muhammad Zayyan Irfan disahkan meninggal dunia di lokasi manakala Raja Nurhanani Nabila disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Hulu Terengganu, kira-kira jam 10.30 malam.
“Dua mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
“Mayat Noreha Mohamed dan Nik Muhammad Zayyan Irfan dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun dan mayat Raja Norhanani dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kuala Berang untuk proses bedah siasat.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.