
Loke berkata oleh kerana terlalu ramai yang berhasrat untuk menjadi calon dan ramai personaliti berkelayakan untuk ditampilkan, parti tidak dapat menyenaraikan semua orang.
“Kami berbincang dengan mereka yang digugurkan dan jelaskan kepada mereka. Saya berjumpa setiap daripada mereka. Kebanyakan mereka menerima dan menghormati keputusan itu.
“Mereka adalah pemimpin senior dan sudah banyak yang mereka lalui tetapi kita tidak boleh menampilkan semua orang,” katanya kepada FMT selepas majlis mengumumkan calon PRN Pulau Pinang.
Kata Loke, ini termasuk bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy yang tidak hadir dalam majlis itu.
“Saya baru sahaja bertemu Ramasamy di ibu pejabat DAP, beliau menghormati keputusan itu,” katanya.
Tambahnya, tidak mampu memuaskan hati semua orang adalah “masalah normal” dihadapi setiap parti politik.
Selain Ramasamy, empat Exco Pulau Pinang Phee Boon Poh, Chong Eng, Yeoh Soon Hin, dan Soon Lip Chee juga digugurkan.
Pembantu Ramasamy yang baru sepenggal di DUN Bagan Dalam, Satees Muniandy juga digugurkan.
Bekas Adun Pulau Tikus, Chris Lee pula mengumumkan tidak bertanding atas alasan kesihatan.