Kekosongan kerusi Pulai dimaklum pada SPR

Kekosongan kerusi Pulai dimaklum pada SPR

Ia susulan kematian penyandangnya, Salahuddin Ayub malam Ahad lalu.

Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul memaklumkan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pulai kepada SPR hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Rakyat memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pulai susulan kematian penyandangnya, Salahuddin Ayub.

Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul berkata selaras Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan terbabit.

“Saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat telah mengemukakan pemberitahuan bertarikh 25 Julai kepada pengerusi SPR bahawa Salahuddin Ayub meninggal dunia pada Ahad 23 Julai,” katanya dalam kenyataan.

Bagi pihak Parlimen, Johari turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.

Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 9.23 malam kelmarin, selepas ditidurkan susulan pembedahan akibat pendarahan otak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.