Bekas timbalan CEO EMGS bebas tuduhan dapat suapan bekal kurma untuk Ramadan

Bekas timbalan CEO EMGS bebas tuduhan dapat suapan bekal kurma untuk Ramadan

Hakim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Wafiy Abd Aziz di akhir kes pendakwaan.

Hakim memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu dan wang jaminan RM12,000 dikembalikan. (Gambar Pexel)
KUALA LUMPUR:
Bekas timbalan ketua pegawai eksekutif (CEO) Education Malaysia Global Services (EMGS) dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mendapatkan suapan untuk bekalan “Kurma For Ramadan Gift” empat tahun lepas.

Hakim Suzana Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Wafiy Abd Aziz, 38, di akhir kes pendakwaan.

“Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu dan wang jaminan (RM12,000) dikembalikan,” katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa, manakala tertuduh diwakili peguam Baljit Singh Sidhu.

Perbicaraan bermula Ogos 2021 dengan 24 saksi pendakwaan memberikan keterangan.

Wafiy, didakwa menggunakan jawatan itu untuk mendapatkan suapan, dengan meluluskan bayaran baucar EMGS bertarikh 3 Jun 2019 berjumlah RM12,175 kepada Mileeya Enterprise bagi bekalan “Kurma For Ramadan Gift” yang mana pemilik syarikat itu merupakan saudara tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di EMGS, Jalan Mayang Sari, pada 3 Jun 2019 mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.