Garis panduan pengetua ambil pelajar Tingkatan 6 siap minggu depan

Garis panduan pengetua ambil pelajar Tingkatan 6 siap minggu depan

Ketua Pengarah Pendidikan Pkharuddin Ghazali berkata ia sebagai panduan untuk pengetua menilai pelajar untuk ditawarkan tempat.

Ketua Pengarah Pendidikan Pkharuddin Ghazali berkata sebelum ini pengetua sekolah berasrama penuh dan kolej vokasional juga diberi autonomi untuk menerima kemasukan pelajar. (Gambar Bernama)
NILAI:
Garis panduan proses pengambilan pelajar Tingkatan Enam oleh pengetua Pusat Tingkatan Enam yang kini diberi kuasa autonomi dijangka dapat disiapkan minggu hadapan, kata Ketua Pengarah Pendidikan Pkharuddin Ghazali.

Beliau berkata ia bagi memastikan setiap pengetua ini mempunyai panduan secukupnya dalam membuat penilaian terhadap pelajar yang layak, seterusnya menawarkan tempat.

“Sebenarnya perkara ini telah berlaku dulu, kemasukan ke sekolah berasrama penuh pernah kita beri autonomi kepada pengetua, begitu juga kepada kolej vokasional. Tempat yang kita sediakan masih ada lebihan jadi kita boleh menerima mereka masuk.

“Sekarang ini kita utamakan pelajar yang membuat rayuan yang akan masuk menerusi pengetua ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Nasional ke-30 Kepimpinan Pendidikan Ke Arah Malaysia Madani.

Semalam Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kuasa autonomi kepada pengetua Pusat Tingkatan Enam menjalankan proses pengambilan pelajar, berkuatkuasa serta-merta.

Fadhlina berkata langkah tersebut membolehkan pengetua membuat tawaran terus kepada pelajar berpotensi yang memerlukan peluang menyambung pengajian tanpa perlu menunggu tawaran daripada KPM seperti tahun sebelumnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.