Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Salahuddin

Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Salahuddin

Sultan Abdullah menyifatkan pemergian Salahuddin Ayub sebagai kehilangan besar kepada masyarakat dan negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengimamkan solat jenazah Allahyarham Salahuddin Ayub di Masjid Jamek Dato’ Hj Noh Gadot Serkat, Pontian. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub yang telah kembali ke rahmatullah pada Ahad.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut catatan di Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

(Gambar Facebook)

“Seri Paduka Baginda berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti Allahyarham kepada negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada masyarakat dan negara,” menurut catatan itu.

Salahuddin, 61, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam Ahad.

Menurut catatan Istana Negara Allahyarham yang lahir pada 1 Disember 1961 pernah dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2018 hingga 2020.

Allahyarham yang merupakan Ahli Parlimen Pulai dari tahun 2018 telah dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup selepas PRU15 November lepas.

Allahyarham juga pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Pontian dari tahun 1981 hingga 1983, menurut catatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.