
Hakim Norazlin Othman membebaskan Liow Wei Kin, 30, selepas peguamnya, Rajpal Singh memaklumkan tertuduh telah membayar kesemua kompaun berjumlah RM4.174 juta melibatkan lapan tuduhan yang dihadapinya sebelum ini.
Rajpal berkata, kesemua tuduhan itu tidak boleh disempurnakan dengan hanya dibatalkan (DNAA), justeru memohon Liow dilepas dan dibebaskan dengan kesemua wang jaminan dipulangkan di samping dilepaskan daripada semua syarat jaminan.
Norazlin kemudiannya memerintah Liow dilepas serta dibebaskan dan membenarkan kesemua permohonan yang dimohon Rajpal.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin memohon kesemua tuduhan Liow mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dibatalkan.
Katanya, ia berikutan satu persetujuan penyelesaian yang dicapai melibatkan satu kadar kompaun yang dibayar pada 3 Julai lepas kepada kerajaan Malaysia.
Liow didakwa dengan tiga tuduhan mengemukakan borang nyata cukai pendapatan secara tidak betul dengan meninggalkan pendapatan berjumlah RM2,672,500 yang boleh dikenakan cukai sebanyak RM686,376.45 bagi tiga tahun taksiran bermula 2017 hingga 2019, dan melakukan kesalahan bawah perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 dan dikenakan penalti khas sebanyak dua kali ganda daripada amaun cukai yang terkurang bayar.
Liow turut dituduh atas satu tuduhan mengemukakan borang nyata cukai pendapatan yang diperuntukkan bawah subseksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2016, tanpa alasan yang munasabah dan melakukan suatu kesalahan subseksyen 112(1) akta yang sama.
Jika disabitkan, dia boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Bagi empat lagi tuduhan mengikut AMLATFPUAA 2001, Liow didakwa melibatkan diri secara langsung dalam transaksi melibatkan hasil daripada aktiviti haram dengan jumlah keseluruhan RM779,894.95 dan melakukan kesalahan bawah perenggan 4(1) akta tersebut.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, mana-mana lebih tinggi.
Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Petaling Jaya di Bandar Damansara Perdana, dekat sini antara 16 Mei 2017 hingga 30 Mei 2020.