Tesla jadikan ekosistem EV negara lebih kompetitif, kata menteri

Tesla jadikan ekosistem EV negara lebih kompetitif, kata menteri

Tengku Zafrul Aziz berkata memandangkan industri EV agak baharu di Malaysia ramai pelabur tempatan dan asing masih menunggu kepastian dalam pasaran sebelum membuat pelaburan.

Tengku Zafrul Aziz melancarkan stesen ‘supercharging’ Tesla di Pavilion, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, 19 Julai lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pembukaan stesen pengecas pertama Tesla Inc di Malaysia akan menjadikan ekosistem automotif tempatan lebih berdaya saing dan membantu memberi isyarat kepada pasaran global yang negara ini serius membangunkan industri kenderaan elektrik (EV), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz

Tengku Zafrul berkata, memandangkan industri EV agak baharu di Malaysia, ramai pelabur tempatan dan asing masih menunggu kepastian dalam pasaran sebelum membuat keputusan pelaburan.

Beliau percaya pembukaan stesen pengecas Tesla akan membantu menyemai keyakinan dalam kalangan pelabur EV yang bukan sahaja berminat melabur dalam kemudahan pengecasan tetapi mengambil bahagian dalam keseluruhan rantaian bekalan.

“Kita meliberalisasikan industri dan kita perlu mendorong. Kita mahu memastikan peraturan itu jelas.

“Mereka juga ingin tahu berapa pantas kereta itu masuk. Justeru, bagi orang yang melabur dalam stesen pengecasan, mereka mahu melihat kita juga memulakannya. Tesla menunjukkan contoh baik dengan memasang stesen pengecas terlebih dahulu,” katanya kepada Bernama.

Pada 19 Julai lalu, Tengku Zafrul melancarkan stesen “supercharging” Tesla di Pavilion, Bukit Bintang-stesen pengecas EV pertama pembuat kereta terkemuka itu di negara ini yang merancang membina sekurang-kurangnya 50 stesen pengecasan di seluruh negara.

Katanya, sembilan lokasi stesen pengecasan dikenal pasti termasuk di Bukit Jalil, Petaling Jaya dan Dengkil manakala di luar Lembah Klang adalah di Ipoh, Perak; Perai, Pulau Pinang; Seremban, Negeri Sembilan; dan Iskandar Puteri, Johor, dua lagi lokasi akan diumumkan tidak lama lagi.

Pada peringkat awal, lokasi stesen pengecasan akan tertumpu di bandar besar tetapi bukan sahaja terhad kepada pusat beli-belah kerana Tesla juga merancang mempunyai stesen pengecasan di kawasan terbuka.

Limpahan ekonomi

Tengku Zafrul berkata, banyak syarikat di Malaysia terlibat dalam rantaian bekalan membina stesen pengecas Tesla, seiring harapan kerajaan untuk mewujudkan kesan limpahan ketara kepada rakyat dan ekonomi secara keseluruhan.

“Malaysia mempunyai ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) kukuh yang dibina sejak 50 tahun lalu terutama dalam perniagaan semikonduktor, ia merupakan komponen utama dalam pembuatan kereta EV.

“Ia sangat menggembirakan untuk melihat syarikat di Malaysia menyokong bukan sahaja Tesla tetapi keseluruhan industri, kerajaan komited untuk mempercepatkan kelulusan pembangunan infrastruktur supaya sepadan standard bertaraf dunia selama tiga bulan,” katanya.

Mengulas mengenai keseimbangan dalam pasaran EV tempatan, Tengku Zafrul berkata memandangkan bilangan stesen pengecas EV menunjukkan aliran menaik, permintaan dan penawaran kereta EV akan turut menyusul kemudian.

“Justeru, pelabur kepada kemudahan pengecasan tersebut boleh mendapat pulangan modal lebih cepat,” katanya.

Memetik tinjauan oleh syarikat kemudahan mengenakan bayaran, Tengku Zafrul berkata pulangan modal dalam pelaburan stesen pengecasan berdasarkan persekitaran semasa, mungkin dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Kerajaan menyasarkan untuk mempunyai 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang 2025 terdiri daripada 9,000 unit jenis arus ulang alik (AC) dan 1,000 unit jenis arus terus (DC).

Setakat ini lebih 1,000 stesen pengecas EV dipasang.

Tengku Zafrul berkata, elektrifikasi besar-besaran sektor automotif dan industri pembuatan Malaysia sesuai dengan agenda karbon sifar bersih, alam sekitar, sosial dan tadbir urus Malaysia dan rantau ini.

Malaysia menyasarkan 15% daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) disumbangkan oleh EV dan kenderaan hibrid menjelang 2030 dan 38% daripada TIV menjelang 2040.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.