Penyokong DAP kecewa tahap ‘kronik’ BN ambil Dusun Tua

Penyokong DAP kecewa tahap ‘kronik’ BN ambil Dusun Tua

Kerusi itu dimenangi Edry Faizal Yusof daripada DAP dengan majoriti 10,422 undi pada PRU14.

Gobind Singh Deo dan Ng Sze Han bertemu ahli DAP Hulu Langat untuk membincangkan perkembangan di Dusun Tua semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin DAP mengakui setakat ini sukar memujuk ahli dan penyokong parti itu yang terkilan dengan pencalonan Barisan Nasional (BN) di Dusun Tua pada PRN bulan depan.

Beliau yang enggan dinamakan berkata, ramai kecewa apabila kerusi dimenangi DAP pada PRU14 menerusi Edry Faizal Yusof diserahkan kepada Timbalan Ketua Umno Selangor Johan Aziz untuk mewakili gabungan kerajaan perpaduan.

Katanya, ramai ahli DAP di Hulu Langat meluahkan kemarahan mereka dalam pertemuan dengan Ketua DAP Selangor Gobind Singh Deo, semalam, iaitu sehari selepas BN diumum bertanding di kerusi DUN Dusun Tua.

“Memang akar umbi kecewa tahap kronik, susah hendak pujuk setakat ini,” katanya kepada FMT.

Dusun Tua, antara dua kerusi disandang komponen Pakatan Harapan (PH) selain Gombak Setia diserahkan kepada BN pada PRN 12 Ogos ini.

Pada PRU14, Edry Faizal menang dengan majoriti 10,422 menewaskan Mohd Zin Isa (BN) dan Razaly Hassan (PAS).

Sementara itu, Setiausaha DAP Selangor, Ng Sze Han, berkata beliau bersama Gobind bertemu ahli DAP di Hulu Langat bagi membincangkan keputusan Pengerusi PH Anwar Ibrahim menyerahkan kerusi Dusun Tua kepada Umno.

“DAP Selangor ingin menyatakan pendirian tidak bersetuju dan terkilan terhadap penyerahan kerusi tersebut,” katanya di Facebook.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Presiden PH esok yang mungkin membincangkan syarat pertukaran.

Difahamkan, tiada wakil DAP hadir pada majlis pelancaran jentera perpaduan peringkat Hulu Langat Rabu lalu yang mempunyai dua kerusi iaitu Dusun Tua dan Semenyih- kedua-duanya bakal ditandingi BN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.