
Bekas pegawai pengangkutan, Wan Agyl Wan Hassan, berkata risiko dikaitkan dengan pelaburan besar sedemikian dan pulangan tidak menentu, tidak akan menggalakkan pelabur swasta.
“Contoh terdahulu, termasuk LRT Putra di Malaysia, menunjukkan kebergantungan sepenuhnya kepada pembiayaan sektor swasta bagi projek sedemikian boleh membawa kepada masalah kewangan yang memerlukan campur tangan kerajaan.
“Jadi, model pembiayaan swasta sepenuhnya nampaknya tidak praktikal dan berisiko tinggi,” kata bekas pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu kepada FMT.
Rabu lalu, MyHSR Corporation Sdn Bhd berkata projek itu boleh dibiayai sektor swasta sepenuhnya, walaupun ia dibangunkan dan dikendalikan melalui perkongsian awam-swasta (PPP).
Jurucakap MyHSR ketika dihubungi berkata, PPP bagi projek itu boleh mengambil bentuk berbeza bergantung kepada tahap sumbangan kerajaan terhadap kos projek.
“Dalam pengertian ini, PPP boleh dibiayai sepenuhnya pihak swasta jika unjuran kutipan hasil sepanjang tempoh konsesi melebihi jumlah kos projek dan margin keuntungan berdasarkan nilai semasa bersih.”
Wan Agyl berkata, konsep PPP mengatasi sumbangan kewangan dan merupakan pakatan strategik bagi mengharmonikan kekuatan entiti awam serta swasta.
“Walaupun tanggungjawab kewangan terletak pada sektor swasta sepenuhnya, sektor awam kekal pemegang taruh tidak ternilai. Ia selalunya terbabit dalam menyelaraskan proses seperti pengambilan tanah, mendapat kebenaran kawal selia, memastikan potensi aliran hasil atau mengurangkan risiko tertentu berkaitan.”
Beliau berkata, walaupun kerajaan nampaknya menyasarkan model dibiayai swasta sepenuhnya, ia belum dapat dilihat sama ada sektor swasta mampu menanggung kosnya.
Sementara itu, perunding pengangkutan Rosli Khan berkata projek itu tidak dapat dilaksanakan, walaupun sangat bercita-cita tinggi.
“Kos pinjaman, caj faedah, kadar tukaran mata wang dan kos lain berkaitan akan menjadi tinggi. Pengiraan saya tidak menjana angka positif, jadi saya tidak dapat melihat pulangan positif pelaburan.”
Katanya, menyusun semula projek itu dalam cara sedemikian hanya memanfaatkan sektor swasta.
“Hanya pembiaya projek dan syarikat swasta akan menang kerana kaedah untuk penyelewengan dan manipulasi kewangan dalam projek besar itu terbuka (disalahgunakan) pihak berkepentingan.”
Katanya, nilai projek itu sering ditetapkan pembida, dengan kerajaan menjadi pihak lemah dalam rundingan dengan pemain korporat.
Beliau menyarankan projek itu diklasifikasikan sebagai inisiatif pembiayaan swasta berbanding PPP.