Calon ‘lambat mula enjin’ berisiko digugur, Rafizi beri amaran

Calon ‘lambat mula enjin’ berisiko digugur, Rafizi beri amaran

Timbalan presiden PKR berkata jentera calon perlu memastikan pelbagai aktiviti kempen dijalankan setiap hari.

Rafizi Ramli mengingatkan calon PKR tidak memberikan janji kosong yang tidak mampu mereka tunaikan selepas menang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli memberi amaran kepada calon parti itu bergerak pantas memulakan kempen atau berisiko digugurkan menjelang hari penamaan calon 29 Julai ini.

“Lepas ini, kami akan kejar jentera calon yang diberikan amanah untuk memastikan setiap hari paling kurang ada aktiviti kempen pelbagai yang mencukupi.

“Kalau tidak, dalam tempoh seminggu ini, kalau kami merasakan saudara-saudari yang diberi tanggungjawab jadi calon ini lambat mula enjin, saya sendiri akan pergi jumpa presiden untuk tukar pencalonan saudara- saudari.

“Sebab itu kita umum awal untuk pastikan jangan berulang cerita dulu-dulu, masa nak jadi calon lobinya sampai ke langit, tetapi apabila sudah jadi calon, dia menjadi raja sebelum menang.

“Kepada jentera di luar, jika ada calon seperti itu maklumkan kepada saya, saya sendiri akan berjumpa presiden minta tarik balik watikah,” katanya pada majlis pengumuman calon PKR di Shah Alam malam tadi.

Beliau turut mengingatkan calon tidak memberi janji kosong yang tidak mampu mereka tunaikan selepas menang.

“Bila nak jadi calon, macam-macam akan dijanjikan. Tetapi apabila berkempen, jangan buat janji yang akan membebankan kepimpinan parti.

“Berunding dengan jentera pilihan raya dan akar umbi anda sebelum membuat sebarang janji.”

Pada majlis sama, Anwar yang juga pengerusi PH mengumumkan PKR akan meletakkan 58 calon pada PRN enam negeri bulan depan, iaitu 20 calon di Selangor, Pulau Pinang (13), Kedah (10), masing-masing enam di Negeri Sembilan dan Kelantan serta tiga di Terengganu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.