Kes jurugambar wanita diganggu, polis tunggu laporan perubatan suspek

Kes jurugambar wanita diganggu, polis tunggu laporan perubatan suspek

Individu lelaki berusia 37 tahun dan menetap di Shah Alam itu sedang menerima rawatan lanjut di HKL, menurut polis.

Polis sedang dalam usaha melengkapkan kertas siasatan berhubung kes ini, kata Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis sedang menunggu laporan perubatan penuh berhubung individu disyaki menghendap dan mengganggu seorang jurugambar wanita dengan mesej dan komen berbaur lucah.

Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 37 tahun yang menetap di Shah Alam sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL).

“Siasatan lanjut mendapati (suspek) kini ditahan di wad bawah Jabatan Neurologi bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

“Pihak polis akan mendapatkan laporan penuh perubatan daripada pihak hospital dan kertas siasatan akan dilengkapkan untuk dimajukan kepada timbalan pendakwa raya negeri.”

Katanya, polis juga telah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyekat akaun-akaun milik lelaki itu.

Dalam pada itu, Fakhrudin menasihatkan orang ramai agar mengelak daripada mengeluarkan mahupun menyebarkan sebarang bahan di mana-mana platform agar tidak timbul spekulasi yang mengganggu siasatan polis.

Terdahulu, tular di media sosial, seorang jurugambar wanita dikenali sebagai Acacia Diana, yang juga seorang pempengaruh, mendedahkan selama bertahun-tahun diganggu dengan pelbagai mesej dan komen lucah seorang lelaki dikenali “Shafiq Rosli”.

Dakwanya, lelaki itu turut muncul di tempat awam di mana beliau berada, selain ke rumahnya, serta mengekorinya sehingga ke United Kingdom.

Susulan pendedahannya itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri meminta wanita itu membuat laporan polis baharu berhubung perkara itu agar dapat disiasat bawah akta anti-menghendap yang baharu.

Pada 16 Julai, jurugambar itu memaklumkan telah membuat laporan polis baharu berhubung gangguan dihadapinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.